Pelakon Diana Danielle terkilan apabila menerima reaksi kurang senang daripada warganet selepas memberitahu dirinya kini lebih selesa mendekatkan diri dengan Allah SWT untuk mengadu segala kesedihan.
Kongsi pemilik nama Diana Danielle Danny Beeson, mana-mana individu tidak berhak untuk memandang rendah terhadap seseorang yang solat tapi tidak menutup aurat dengan sempurna.
“Kenapa perlu pelik bila orang tak bertudung bagitahu mereka solat?
“Sejak saya berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama sering kali, ‘tutup aurat dulu’.
“Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat?”soalnya menerusi hantaran di Threads, hari ini.
Diana Danielle terkilan
Menurut ibu kepada dua cahaya mata, setiap orang mempunyai ujian hidup dan sedang berjuang melawan nafsu masing-masing.
Namun, tidak haruslah mana-mana individu memandang rendah kepada mereka yang sedang mencuba untuk berubah ke arah lebih baik dalam hidup.
“Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri sendiri dan berjuang melawan nafsu masing-masing.
“Yang penting, kita semua sedang berusaha ke arah kebaikan. Elak rendahkan sesiapa yang sedang cuba berubah,” katanya lagi.
Artikel lain: Diana Danielle anggap Farid Kamil kejam jika panjangkan proses cerai – “Let me go”
Dalam pada itu, Diana juga berpendapat menunaikan solat merupakan jalan awal untuk seseorang menjadi insan yang lebih baik dan ia bukan perkara pelik.
“Kenapa perlu pelik bila orang tak bertudung bagitahu mereka solat? Kan setiap orang ada ujian berbeza.
“Solat tanda kesedaran untuk berubah dan menjadi lebih baik.
“Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia,” ujarnya.
Sebelum ini, Diana memberitahu dia dapat melalui proses penceraian bersama aktor Farid Kamil dengan lebih tenang selepas meluahkan segala rasa ketika bersujud.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai pihak apabila memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk bersama suaminya, aktor Farid Kamil.
Bagaimanapun, Diana enggan memperincikan alasan membuat keputusan nekad untuk berpisah.
Baru-baru ini, Farid mengakui berlaku perselisihan faham kecil antara mereka, sebelum Diana berkongsi kenyataan dia akan memfailkan perceraian buat kali kedua.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos tahun lalu.
Sumber: Threads Diana Danielle