'Kenapa nak cerai? Elok tanya Beego' – Linda Hashim

'Kenapa nak cerai? Elok tanya Beego' – Linda Hashim

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Boleh tanya sendiri kepada Beego. Saya tidak mahu komen lebih-lebih atau panjangkan cerita.”

Ini kata pelakon, Linda Hashim, 41, mengenai dakwaan dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan dia nekad memfailkan perceraian kali ketiga terhadap suaminya yang juga pelakon, Beego, 45.

Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, di sini, juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan wujud ‘orang ketiga’ hingga dia sanggup bertindak memfailkan perceraian yang selepas ini tiada peluang ‘berpatah balik’.

“Saya tidak mahu cakap lebih (mengenai wujud orang ketiga),” katanya.

Linda berkata, dia membuat keputusan meneruskan perceraian itu memandangkan hatinya sudah kosong, selain Beego dianggap sudah mensia-siakan banyak peluang yang diberinya.

“Banyak kali saya bagi peluang dengan memaafkan dan menerima segala kekurangan serta kelebihan dia (setuju rujuk semula sebelum ini). Semua itu adalah peluang,” katanya.

Terdahulu, sebutan kedua kes perceraian Linda dan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah akan berlangsung pada 6 Mac depan.

Beego dan Linda pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 sekali gus hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Linda bagaimanapun memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali peluang diberikan.

Mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan, Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top