Berlin: Daripada menyeludup masuk seekor ayam jantan ke stadium hingga menonton skuad kebangsaan Perancis di 45 negara berbeza, Clement Tomaszewski tidak pernah jemu untuk menyokong pasukan kesayangannya.
Dia mula menjadi terkenal pada tahun 1998 apabila Les Bleus memenangi Piala Dunia di tanah air mereka sendiri.
Semasa kemenangan separuh akhir ke atas Croatia 26 tahun lalu, kamera televisyen sempat merakam Tomaszewski membawa ayam jantannya bernama Balthazar di tempat duduk penonton.
Imej itu menjadi viral dan sejak itu Tomaszewski dan ayam jantannya menjadi ikon yang tidak pernah disangkakan di Perancis.
Ini membolehkan dia bergaul dengan barisan pemain bintang pasukan kebangsaan Perancis dan diberikan akses ke hotel pasukan mereka.
Mendedahkan bagaimana dia mula-mula berjaya membawa ayam jantan ke dalam stadium, Tomaszewski menjelaskan kepada The Athletic: “Tiada siapa yang memberitahu saya apa-apa.”
Dia berkata, pegawai keselamatan mungkin berfikir ‘baiklah, ayam jantannya akan membawa tuah kepada Perancis, kita tidak akan melarangnya masuk’.
“Jika ada masalah sedikit pun dengan ayam jantan, saya akan diharamkan selama-lamanya masuk ke stadium, jadi saya perlu berhati-hati.”
Tomaszewski adalah penyokong setia Perancis, yang sudah mengikuti perkembangan skuad kebangsaan di seluruh dunia selama 42 tahun.
Dia sudah menonton aksi skuad kebangsaan Peracis di empat benua iaitu Eropah, Asia, Afrika, dan Amerika Selatan.
Perlawanan separuh akhir Euro 2024 menentang Sepanyol akan menjadi perlawanan ke-305 buat lelaki berusia 76 tahun itu di tempat duduk penonton.
Tomaszewski dan anaknya, Christophe belum memutuskan untuk membawa Balthazar ke Jerman.
© New Straits Times Press (M) Bhd