firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk M Karathu akui kenaikan ranking skuad Harimau Malaya bakal memberi lonjakan motivasi dan keyakinan diri yang cukup tinggi buat semua barisan pemain terutama apabila bersaing di Piala Asia Qatar, Januari ini.
Jelas bekas pemain kebangsaan era 60an dan 70an itu, lonjakan hampir 24 anak tangga hanya dalam tempoh setahun setengah di bawah kendalian Kim Pan-gon menunjukkan bahawa pasukan Malaysia mempunyai kualiti tersendiri untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Katanya lagi, kedudukan terkini di tangga 130 dunia dalam ranking Fifa adalah yang terbaik sejak dua dekat lalu dengan posisi terburuk adalah pada 2017 apabila menghuni tangga 174.
“Ini satu kebangkitan dan pujian buat skuad Harimau Malaya di bawah tunjuk ajar jurulatih dari Korea Selatan (Kim Pan-gon). Kita tak pernah capai di tahap setinggi ini sejak beberapa tahun lalu.
“Biasanya kita hanya duduk di tangga 140 atau 150 lebih sahaja, tetapi sekarang sudah menunjukkan trend peningkatan yang baik sekali.
“Bagi saya, ia tepat (peningkatan ranking) pada masanya di mana ia boleh memberi motivasi tambahan buat pemain yang akan beraksi di Piala Asia nanti.
“Bukan mudah nak lawan dengan pasukan kuat di Piala Asia, tapi bila ranking kita ini naik sudah tentu pemain kita akan rasa lebih yakin dan percaya pada diri sendiri yang mereka juga bagus dan boleh bermain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Semalam, skuad Harimau Malaya meraih tonik terbaik menjelang kempen Piala Asia apabila kini berada di kedudukan ke-130 dunia ranking Fifa, di mana ia mendaki tujuh anak tangga daripada 137 dunia sebelum ini.
Peningkatan mencanak pasukan negara itu didorong menerusi dua kemenangan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada minggu lalu.
Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia berjaya menundukkan Kyrgyzstan yang berada di tangga 97 dunia menerusi keputusan 4-3 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Rentak sama kemudiannya diteruskan pada aksi kedua apabila menundukkan Taiwan (152 dunia) dengan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei, sekaligus memimpin carta Kumpulan D dan akan berdepan Oman pada Mac nanti.
Karathu, 78, yang berpengalaman luas sebagai jurulatih termasuk pernah mengendali pasukan kebangsaan Sri Lanka serta kelab Singapura, Woodlands Wellington FC menambah, Pan-gon bertuah memiliki pemain sehebat Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.
“Siapa kata pemain bertubuh kecil tak boleh bersaing dengan pemain lebih besar. Arif Aiman dan Faisal dah buktikan bahawa bukan fizikal jadi ukuran tetapi ‘speed’ dan ‘intelligence’ dalam bola sepak.
“Saya harap lebih ramai lagi pemain seperti mereka berdua dapat dilahirkan kelab-kelab dan FA (Persatuan Bolasepak Negeri) kerana negara kita memang ramai pemain yang ada ‘DnA’ permainan sebegitu,” katanya.
Untuk rekod, di Piala Asia nanti skuad Harimau Malaya diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd