KUALA LUMPUR – Selepas sebulan diisytiharkan sebagai Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah hari ini membuat kemunculan pertama bertemu rakyat di negeri itu.
Baginda berkenan menerima mengadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) yang diadakan di Istana Negeri Kubang Kerian, Kelantan.
Unit Media Pejabat Sultan Kelantan dalam satu kenyataan berkata, baginda turut berkenan mengurniakan cenderamata kenangan kepada semua ahli rombongan.
Rombongan PKDK diketuai oleh Presiden Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan, Yang Mulia Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz dan beberapa ahli pertubuhan lain.
Hadir sama menyambut Sultanah Kelantan ialah Tengku Sri Kelana D’Raja Kelantan, Datuk Seri Raja Rezza Shah, Tengku Kaya Perkasa, Yang Mulia Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan pegawai-pegawai Istana Kelantan.
Pada 2 Ogos lalu, Nur Diana Petra diisytihar sebagai Sultanah Kelantan di Istana Kelantan. – MalaysiaGazette
