Kemunculan bank digital baharu lonjakan sektor perbankan global pada 2024

Kemunculan bank digital baharu lonjakan sektor perbankan global pada 2024

KEMUNCULAN tiga bank digital di Malaysia telah merevolusikan sektor perbankan, menawarkan akses kewangan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dan menyalurkan kemudahan kepada pelanggan untuk melakukan transaksi pada bila-bila masa, siang ataupun malam.

Sejak mula beroperasi, transaksi e-pembayaran mereka mencatatkan peningkatan yang luar biasa dalam tempoh masa yang agak singkat, mengatasi jangkaan dan unjuran.

Dalam proses itu, mereka telah meningkatkan penggunaan pembayaran digital dengan bantuan langkah-langkah daripada pihak kawal selia bertujuan untuk meningkatkan keterangkuman kewangan.

Mereka telah memasukkan dimensi baharu dalam sektor perbankan bukan sahaja bagi membolehkan akses kepada pelanggan yang lebih luas tetapi meningkatkan celik kewangan terutamanya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Tiga daripada lima lesen perbankan digital yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2022, iaitu GX Bank Bhd, AEON Bank (M) Bhd, dan Boost Bank Bhd yang dilancarkan dengan jayanya.

GXBank, anak syarikat GXS Bank Pte Ltd, iaitu usaha sama bank digital antara Grab Holdings Ltd, Singapore Telecommunications Ltd, dan konsortium pelabur-pelabur Malaysia, termasuk Kuok Groupā€”dilancarkan pada penghujung 2023.

Ini diikuti dengan pelancaran AEON Bank pada 2024, dimiliki bersama oleh AEON Financial Service Ltd dan AEON Credit Service (M) Bhd, anak syarikat Kumpulan AEON Jepun dan Boost Bank, sebuah bank digital tempatan yang ditubuhkan oleh Axiata dan RHB.

Dua lagi bank digital, iaitu melalui perkongsian antara Sea Ltd dan YTL Digital Capital Sdn Bhd, dan satu lagi diketuai oleh KAF Investment Bank, masih belum beroperasi secara langsung disebabkan masalah-masalah teknikal.

Mempercepatkan transformasi perbankan digital

Harapan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perbankan digital juga telah direalisasikan, apabila sasaran 400 transaksi e-pembayaran perkapita telah dicapai dalam tempoh yang jauh lebih singkat berbanding dengan garis masa asal pada 2026.

Sehingga 1 Oktober, 2024, sebanyak 405 transaksi pembayaran digital telah direkodkan, melebihi matlamat yang digariskan dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan.

Ini sudah pasti mencerminkan kemajuan Malaysia dalam pembayaran digital.

Walaupun ia telah mempercepatkan transformasi sektor perbankan digital Malaysia, ia bagaimanapun perlu kekal berdaya saing dengan rakan-rakan serantau.

Dengan mengetepikan kemajuan teknologi dan persaingan, bank digital semestinya mengutamakan kepentingan orang awam untuk memastikan kemampanan jangka panjang.

Ini memerlukan kesedaran dan pemahaman yang dipertingkatkan kepada orang ramai tentang perbankan digital bagi menggalakkan penggunaan yang lebih meluas.

Meningkatkan kerjasama industri

Pada 6 November 2024, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengalu-alukan kemasukan GX Bank dan Boost Bank sebagai ahli baharu, menandakan detik penting dalam meningkatkan pemain dalam sektor perbankan.

ABM berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmennya untuk mewujudkan persekitaran perbankan yang inklusif yang menggabungkan inovasi digital dengan nilai-nilai tradisional.

Pengarah Eksekutif, Dr Amina Kayani telah mengulas kemasukan tiga bank digital itu sebagai menandakan pendekatan yang bersatu antara 10 kumpulan perbankan konvensional dan tiga bank digital.

Beliau berkata kerjasama itu mengukuhkan kebolehsuaian, daya tahan dan tumpuan industri untuk memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai.

Pertumbuhan pesat perkhidmatan kewangan digital

Menurut Bain & Company, sektor perkhidmatan kewangan digital (DFS) terus mencatatkan trajektori menaik, dengan bank digital di Malaysia menawarkan ciri-ciri menarik dan memudahkan akses yang mendorong pertumbuhan.

Ini bermakna prognosis bagi bank digital kelihatan cerah kerana transaksi pembayaran digital dijangka mencecah US$172 bilion tahun ini, meningkat lima peratus berbanding tahun lepas. – Bernama

Scroll to Top