Kempen RaRa 2025 imbau nostalgia 

Kempen RaRa 2025 imbau nostalgia 

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: TV3, TV9, dan Tonton membawakan kempen Ramadan Raya 2025 (RaRa 2025) bertemakan Indahkan Memori menyajikan seleksi hiburan eksklusif demi hidupkan semangat Ramadan dan Syawal.

RaRa 2025 turut menampilkan Fasha Sandha, Aidil Aziz, Aisha Amaira, Farah Nabilah Wazer, Naz Rahman, Fatin Hamimah, dan Amirulhakim Lokman sebagai Friends of RaRa sebagai penyebar kegembiraan buat semua.

Fasha akui sangat berbesar hati apabila keluarga kecilnya dipilih menjayakan kempen itu. Dia berharap penonton TV3, TV9, dan Tonton akan terhibur dengan program serta pengalaman menarik disajikan.

“Sangat bersyukur kerana mempercayai kami sekeluarga Sebagai ibu dan isteri, hajat saya berkongsi indahkan memori Syawal bersama keluarga. Semoga pembabitan kami dapat mewarnai program tv3 buat penonton luar sana,” katanya.

Dihoskan Fahrin Ahmad dan Fiza Sabjahan, acara pelancaran itu yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, hari ini turut dihangatkan dengan persembahan Senario, Shiha Zikir, Zahid, Jimi CSOIAM, Ernie Zakri dan Hariz Fahaye.

Kemeriahan diteruskan dengan persembahan lagu tema Rara 2025 berjudul Raya Pop Pop nyanyian Fahimi Rahmat. Lagu itu ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin dan Adly Kiddy meraikan semangat perayaan, menggamit kenangan.

Acara yang ditaja Gardenia NuMee itu turut dihadiri artis-artis program dan drama Rara seperti Datuk Rosyam Nor, Eirma Fatima, Datin Paduka Umie Aida, Amir Ahnaf, Puteri Balqis, Ummi Nazeera, Siti Hariesa, Shukri Yahaya, Amira Othman, Luqman Hafidz, Fezrul Khan, Wanna Ali, Muaz Zabir, dan lain-lain.

Dalam pada itu, rangkaian program menarik sepanjang Ramadan dan Syawal pelbagai genre bakal menanti penonton TV3, TV9, dan tonton. 

Daripada rancangan inspirasi, bual bicara sarat pengajaran, hiburan, gaya hidup, drama, dan siri mini menyentuh emosi, setiap program menyampaikan naratif bermakna dan mesej mendalam untuk dinikmati bersama.

Antaranya Menu Sihat Ramadan, Anak Mama Masak Apa Tu?, Sembang Sahur, Bukan Sekadar Lafaz 2, Sekam Di Dada, Keluarga Itu, dan Teratak Kasih Salina.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top