Kempen Labur Kasih Sayang, galak tabiat menabung

Kempen Labur Kasih Sayang, galak tabiat menabung

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan kempen ‘Labur Kasih Sayang’ berserta tayangan filem perayaan menyentuh hati.

Kempen itu berhasrat menggalakkan rakyat Malaysia memulakan tabiat menyimpan sebagai satu tanggungjawab yang bermakna dan memastikan masa depan yang lebih kukuh untuk diri mereka serta orang tersayang.

PNB berkata, filem raya berjudul Amanah Sulung yang disiarkan di pelbagai platform media sosial ASNB mengetengahkan kisah menyentuh hati selari dengan semangat Hari Raya.

“Ia menekankan nilai kebijaksanaan dan perancangan awal, mengajak penonton memahami kepentingan perancangan kewangan serta kesan positifnya terhadap kehidupan mereka dan orang tersayang.

“Menerusi naratif yang menyentuh emosi ini, ASNB mengukuhkan kepercayaannya bahawa setiap keputusan kewangan yang bijak walaupun kecil, mampu membentuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

PNB berkata, filem itu adalah sebahagian daripada kempen Labur Kasih Sayang yang meraikan nilai kasih sayang dan pengorbanan sebagai dorongan untuk melabur demi masa depan lebih cerah.

“Tema kempen ini diterjemahkan melalui pelbagai kisah dan inisiatif yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk melihat amalan menabung sebagai tanda kasih buat diri sendiri dan mereka yang bermakna.

“Nilai-nilai yang diketengahkan dalam filem ini selari dengan misi utama ASNB,” kata PNB.

Dalam pada itu, ASNB melancarkan dua kempen bertemakan raya yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah mudah dan konsisten dalam membina tabiat kewangan lebih baik.

Kempen Labur Tanda Kasih ini memberi ganjaran kepada pelabur yang menetapkan Auto Labur di myASNB dan melengkapkan pemotongan Auto Labur antara 24 Mac hingga 31 Mei.

“Pelabur juga berpeluang memenangi duit raya dalam bentuk PIN Touch ‘n Go.

“Kempen ini menekankan betapa mudahnya memulakan tabiat menabung yang konsisten dan berpanjangan.

Manakala, kempen kedua, Labur Ceria Si Cilik mengajak ibu bapa untuk melabur dalam ASB atau ASB 2 bagi akaun anak-anak mereka.

“Berdasarkan jumlah pelaburan terkumpul, seramai 3,000 pelabur terawal berpeluang memenangi unit percuma,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk menghargai insan yang paling bermakna dalam hidup.

“Menerusi Amanah Sulung, kami ingin memberi penghormatan kepada detik-detik pemberian yang penuh makna, yang seringkali diupakan, tetapi memberi impak besar dalam kehidupan,” kata Fadzihan Abbas.

Katanya, ASNB percaya bahawa setiap langkah kecil dalam menabung boleh membawa kepada sesuatu yang lebih besar dan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk insan yang disayangi.-UTUSAN

Scroll to Top