Kempen cara lama sudah tidak relevan – Ahmad Zahid

Kempen cara lama sudah tidak relevan – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin jentera parti berkenaan bijak mendekati dan mendampingi pengundi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) bukan lagi dengan cara konvensional, sebaliknya menerusi pendekatan baharu iaitu media sosial.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kaedah lama sudah tidak lagi relevan dan gerak kerja jentera perlu mengikut kesesuaian serta keperluan semasa supaya lebih berkesan.

“Kita harus melihat semula pendekatan kita. Gunakan pendekatan baharu, pertamanya menerusi media sosial.

“Kita gunakan media sosial, kita mesti ubah cara ini. Cara dulu sesuai dengan cara dulu, cara sekarang sesuai dengan cara sekarang, cubalah.

“Kalau saya bercakap dalam dewan ini hanya 600 atau 700 perwakilan yang dengar.

“Tapi kalau buat dalam media sosial, keluar secara ‘live’, 100,000 orang akan lihat. Bukan sahaja 100,000 orang tapi satu atau dua juta orang akan lihat asalkan kita jadi pempengaruh atau ‘influencer’ dan mesti ada kandungan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini pada malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, bagi menarik pengundi baharu untuk menyokong Umno, tidak boleh lagi bergantung kepada pengundi lama yang mengundi parti itu semasa PRU-15 sebaliknya perlu menarik mereka yang tidak menyokong parti sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkiraan itu tidak relevan dan tidak boleh lagi dijadikan asas sokongan kukuh kepada parti sebaliknya pengundi atas pagar dan mereka yang tidak mempunyai parti perlu ditarik untuk menyokong Umno.

Beliau berkata, Umno perlu mengutamakan politik perkhidmatan dalam usaha menangani politik sentimen dan kebencian bagi menarik kembali sokongan orang Melayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top