Kemeriahan pertandingan Wau Helang di Perlis

Kemeriahan pertandingan Wau Helang di Perlis

am@hmetro.com.my

Arau: Tapak bendang yang lecak dan berlumpur tidak menjadi masalah kepada 100 peserta dari seluruh negara untuk menerbangkan pelbagai jenis Wau Helang pada Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2025, di Kampung Lat 1000, Tambun Tulang di sini, semalam.

Pelbagai formasi yang ditampilkan menerusi lebih 200 Wau Helang yang mengambil bahagian dalam pesta itu.

Pengerusi Pertandingan Wau Helang, Shaari Kamis, 62, berkata, Wau Helang adalah tradisi yang unik serta wajar dipertontonkan kepada khalayak ramai sebagai usaha untuk mempertahankan legasi berkenaan.

“Kami melihat pertandingan Wau Helang ini sebagai suatu yang unik kerana ia hanya mempertandingkan wau tradisi yang menjadi simbol negeri Perlis.

“Malah, bermula edisi pertama pesta ini lagi, pertandingan Wau Helang ini memang wajib diselitkan sekali dalam usaha kami mahu memastikan wau tradisional ini terus wujud supaya ia tidak ditelan zaman.

“Dalam masa sama, usaha ini turut memberi peluang kepada anak muda untuk melihat sendiri dan merasai sendiri pembuatan wau tradisional hasil tangan pembuat wau tradisi turun-temurun di negeri ini,” katanya ketika ditemui di PAT Perlis 2025, di kampung itu, semalam.

Katanya, pemenang dinilai berdasarkan ketahanan dan ketinggian wau yang diterbangkan.

“Pemenang dipilih jika wau mampu bertahan pada ketinggian 50 meter, sekurang-kurangnya selama lima minit.

“Dalam pertandingan ini juga, dapat dilihat kreativiti anak muda ini dalam memberi ‘nafas’ kepada pembuatan wau itu sendiri selain memastikan ia dapat terbang benar benar tinggi dalam jangkauan masa yang ditetapkan,” katanya

Bagi seorang peserta, Hasbullah Ishak, 39, dari Simpang Empat, Kangar berkata, dia sering menyertai pertandingan itu dan membuat sendiri semua wau yang dipertandingkan.

“Pertandingan Wau Helang ini memberi peluang kepada saya untuk menguji setiap Wau Helang yang saya cipta sendiri. Bukan mudah untuk membuat Wau Helang kerana ia mengambil kira sama ada wau berkenaan dapat terbang atau tidak.

“Hari ini, saya membawa 10 wau untuk dipertandingkan dan untuk edisi PAT Perlis sebelum ini, pencapaian terbaik saya adalah meraih naib juara serta tempat ketiga, dan diharapkan tahun ini rezeki berpihak kepada saya untuk menjadi juara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top