Kemeriahan 40 jam, aktiviti tanpa henti

Kemeriahan 40 jam, aktiviti tanpa henti

suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Zon Selatan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi Malaysia Book Of Records – Longest Non-Stop Government Community Sale yang menyasarkan tempoh jualan 40 jam tanpa henti.

Karnival berlangsung selama 40 jam tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula 6 Disember ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Bukan itu saja, bertempat di Dataran Ayer Keroh, orang ramai berpeluang mendapatkan barang keperluan harian serta produk usahawan tempatan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Program ini bertujuan memberi kefahaman mengenai fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPDN secara terus kepada orang ramai.

Melalui program ini, semua fungsi dan peranan KPDN diterjemah melalui aktiviti dan pengisian sepanjang Jelajah Karnival ini berlangsung menerusi 4 aspek utama iaitu K-Ketangkasan Penguatkuasaan, P-Pemacu Ekonomi Domestik, D–Daya Upaya & Advokasi Kepenggunaan dan N-National Action Council on Cost of Living.

Program ini sudah memasuki siri kelima dan siri terakhir bagi jelajah pada tahun ini.

Sebelum ini, Jelajah Karnival KPDN 2024 diadakan di Perlis, Kelantan, Perak dan Sarawak. Penganjuran karnival ini telah menerima sambutan luar biasa, sekali gus memberikan manfaat berganda kepada para pengunjung  yang  hadir.

Justeru, pada Jelajah Karnival KPDN Zon Selatan pada kali ini, KPDN ingin menawarkan pelbagai kelainan dan keistimewaan dari segi pengisian aktiviti bersesuaian bagi setiap lapisan masyarakat.

Antaranya pameran advokasi KPDN, pemeriksaan kesihatan, pameran automotif, aktiviti jualan oleh usahawan tempatan, wayang pacak, persembahan artis tanah air, laman fantasi kanak-kanak dan pelbagai lagi.

40 JAM JUALAN TANPA HENTI

Menariknya jelajah kali ini, Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) sebagai signature event KPDN yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran biasa turut dianjurkan tiga hari dua malam tanpa henti.

Antara barangan dijual meliputi barang keperluan asas isi rumah seperti beras, telur, minyak masak, ayam, daging dan sebagainya.

Justeru, orang ramai boleh hadir ke tapak karnival bila-bila masa sepanjang 40 jam program berlangsung.

Selain itu, karnival ini menyajikan Menu RAHMAH Lima Ringgit (RM5) untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati tawaran istimewa pada siri karnival  kali  ini.

Pengunjung juga berpeluang menonton wayang pacak jam 1 pagi hingga 5 pagi pada 7 dan 8 Disember.

Untuk keselesaan pengunjung, KPDN menyediakan tempat berehat sambil menonton filem serta peluang membeli barangan keperluan harian.

40 TAHUN KBBM SEMPENA JELAJAH KARNIVAL KPDN ZON SELATAN 2024

Menginjak ke 2024, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) mencapai ulang tahun ke 40 tahun pelaksanaannya. KPDN mengetengahkan sambutan 40 Tahun KBBM dalam penganjuran karnival kali ini.

KPDN sebagai Kementerian peneraju bagi program ini sentiasa komited merancang inisiatif berimpak tinggi bagi memastikan kempen ini sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia.

Menyelusuri sejarah pelaksanaanya, kempen ini mula dilancarkan pada tahun  1984 dengan nama Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Pada 2009, program ini dijenamakan semula sebagai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bertujuan mempertingkat perbelanjaan domestik ekoran krisis kewangan global ketika itu.

Objektif pelancaran semula kempen untuk memperkukuh perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna di negara ini untuk membeli barangan buatan Malaysia.

Justeru itu, Karnival KPDN Zon Selatan menjadi platform usahawan tempatan dari seluruh Malaysia memperkenalkan produk mereka sebagai antara aktiviti utama di bawah KBBM.

Secara tidak langsung, ia membantu pengusaha tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

PELBAGAI TARIKAN MENARIK UNTUK ORANG RAMAI

Selari dengan tema Kita Pengguna Daya Negara, pelbagai pameran dan reruai menarik disediakan untuk pengunjung yang akan menawarkan pelbagai advokasi khususnya berkaitan kepenggunaan, khidmat nasihat, pendaftaran pelbagai perkhidmatan Kementerian dan agensi.

Antaranya membabitkan Pendaftaran Usahawan KPDN, Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS), Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), KITA GEMPUR, aplikasi Price Catcher, pendaftaran syarikat dan pelbagai lagi.

Selain itu, pengisian lain sepanjang tiga hari terbabit meliputi semua lapisan masyarakat.

Antara pengisian tersebut seperti Bicara Usahawan, Sesi Pocket Talk daripada bahagian dan agensi di bawah KPDN, aktiviti kanak-kanak, sesi Meet and Greet Didi & Friends, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah.

Program ini dimeriahkan dengan penampilan istimewa artis ternama tanah air seperti Ramli Sarip, Hazama, Sarah Suhairi dan ramai lagi pada malam 7 Disember.

Di samping itu orang ramai berpeluang menyaksikan wayang pacak yang disiarkan lewat malam sehingga ke awal pagi di Dataran Sejarah sepanjang karnival berlangsung.

Program akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan bin Mohd Ali pada 6 Disember 2024 jam 8 malam.

Manakala, Majlis Penutup pada 8 Disember 2024 akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kehadiran orang ramai khususnya dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor ke penganjuran Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Zon Selatan dapat mendekatkan hubungan antara rakyat dan Kerajaan melalui Kementerian ini yang sentiasa cakna terhadap kos sara hidup rakyat selari dengan hala tuju Kerajaan MADANI iaitu ‘MADANI di hati, rakyat  disantuni.’

Maklumat lanjut berkaitan pengisian dan aktiviti menarik sepanjang karnival boleh diperolehi menerusi portal rasmi KPDN www.kpdn.gov.my atau melalui media sosial KPDN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top