
Warga ‘menunaikan haji’ di Gunung Bawakaraeng.- Foto: Agensi (Gambar kecil: Arsad Hidayat)
JAKARTA – Penduduk Desa Bontosomba, Kecamatan Tompobulu, Sulawesi Selatan dikejutkan dengan kemunculan ajaran sesat yang mendakwa rukun Islam ada 11 dan haji boleh dilakukan hanya dengan pergi ke Gunung Bawakaraeng.
Media tempatan melaporkan ajaran ini dikenali sebagai Tarekat Ana’ Loloa dan dipimpin oleh seorang wanita bernama Petta Bau, 56.
Pengarah Urusan Agama Islam dan Bina Syariah Kementerian Agama, Arsad Hidayat berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menangani isu ini.
“Kami telah menggerakkan pasukan di peringkat kecamatan untuk menyiasat dan menangani ajaran ini,” katanya lapor Tribunews.
Pasukan ini turut bekerjasama dengan polis, Majlis Ulama Indonesia (MUI) serta pihak berkuasa tempatan.
Menurut Ketua Pejabat Urusan Agama (KUA) Tompobulu, Danial, ajaran ini pertama kali dikesan pada Oktober 2024.
“Kami menerima laporan penduduk dan mendapati ajaran ini tidak mempunyai asas Islam yang kukuh,” katanya.
Pada 5 Mac 2025, pasukan khas telah mengunjungi rumah Petta Bau, namun dia tidak berada di rumah kerana berniaga.
“Kami masih memantau keberadaannya untuk tindakan selanjutnya,” kata seorang pegawai.
Susulan itu, orang ramai diminta tidak terpengaruh dan segera melaporkan aktiviti ajaran ini kepada pihak berkuasa.-Agensi