am@hmetro.com.my
Seremban: Harga santan kelapa di sekitar daerah ini masih lagi kekal antara RM10 hingga RM12 sekilogram sejak bulan lalu dan dijangka hanya turun semula selepas Aidiladha.
Tinjauan wartawan di Pasar Besar Seremban, di sini, hari ini, mendapati setiap kedai menetapkan harga yang berbeza, namun kebanyakan mengekalkan harga sama sejak Ramadan lalu.
Peniaga santan, U Mishen, 27, berkata, isu kelapa masih belum pulih dan kebanyakan peniaga masih sukar untuk dapatkan bekalan bahan mentah berkenaan mengikut permintaan.
“Tapi saya masih jual santan pada harga RM10 sejak sebelum Ramadan manakala harga sebiji kelapa dijual RM3.50. Saya tetap jual pada harga sama kerana tak mahu pelanggan lari.
“Saya ambil bekalan kelapa dari Perak. Namun sekali pembelian dihadkan hanya 8,000 biji saja berbanding sebelum ini sehingga 15,000 biji,” katanya.
Peniaga, Mas Hilmi Mas Huri, 38, berkata, sepanjang kira-kira 40 tahun keluarganya terbabit dengan perniagaan santan, dia terpaka menjual santan pada harga paling mahal tahun ini.
“Bermula dari bulan Oktober tahun lalu, harga sebiji kelapa naik setiap minggu bermula dari RM2.40 sehingga Mac lalu pada harga RM3.50 dan kekal sehingga kini.
“Waktu mula-mula naik itu, ramai pelanggan merungut kerana harga santan terpaksa dinaikkan secara mendadak. Namun, selepas dilaporkan di berita, pembeli mulai faham.
“Ini kali pertama berlaku harga santan paling tinggi sehingga RM14 sekilogram,” katanya.
Jelasnya, ketika Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Aidilfitri yang lalu, pihak berkuasa menetapkan harga santan maksimum RM17.50 sekilogram namun dia meletakkan harga RM14.
“Itu harga yang saya rasa sesuai dengan ambil kira kos dan untung diperolehi. Selepas raya saya menetapkan harga santan RM12 sekilogram, kelapa parut RM10,” katanya.
Ujarnya, dia tidak pasti status sebenar bekalan kelapa dalam negara sama ada masih berkurangan seperti sebelum ini atau sudah mula pulih dan meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan sewajarnya.
“Buat masa sekarang harga kekal, tidak naik dan tidak turun. Saya difahamkan untuk dapatkan bekalan kelapa tidak susah lagi, namun bekalan terhad, jadi minta pihak berkuasa semak,” katanya.
D Revathi, 52, berkata, dari bulan Januari dia menjual santan segar pada harga RM10 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram pada tahun lalu.
“Hari raya pun saya tetap jual harga sama walaupun harga maksimum santan di bawah SKHMP Aidilfitri ditetapkan RM17.50 sekilogram. Saya tak naikkan harga kerana tak mahu pelanggan lari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd