Kembali masuk secara haram walau sudah diusir 2 tahun lalu

Kembali masuk secara haram walau sudah diusir 2 tahun lalu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sudah diusir ke negara asal dua tahun lalu, namun kembali masuk secara haram seolah-olah memandang enteng undang-undang negara ini.

Itu tindakan dilakukan pasangan kekasih warga Myanmar yang ditahan dalam operasi Sapu, Kutip serta Belanja di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, semalam.

Pasangan berusia 20-an itu antara 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam operasi itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata wanita bersama pasangannya ditahan di kawasan Hentian Bas, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), kira-kira 1.30 petang, semalam.

Katanya, hasil pengesanan biometrik mendapati pasangan itu pernah ditahan dan didakwa serta dijatuhi hukuman penjara sebelum diusir pulang ke negara asal pada 2023.

“Pasangan itu didapati kembali ke negara ini secara haram dan tindakan itu melanggar Seksyen 36, Akta Imigresen 1959/63.

“Pasangan itu boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun serta enam sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam operasi kira-kira 12 tengah hari hingga jam 7 petang diketuai Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan), Mat Amin Hassan itu, pasukan penguat kuasa menggempur enam premis termasuk tapak pembinaan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Mohd Yusri berkata, dalam operasi itu, seramai 82 warga asing diperiksa, dengan 13 Pati termasuk dua lelaki dan wanita Myanmar serta 10 lelaki Bangladesh ditahan.

“Mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1), (C), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki perjalanan yang sah dan Peraturan 39 (b) atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top