'Kembali ke sekolah, doakan saya' – Tunku Azizah kini penuntut UIAM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah baginda kini kembali bergelar mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Perkongsian itu dibuat menerusi akaun rasmi TikTok baginda @cmspahang, semalam.

Permaisuri turut memuat naik gambar baginda memegang kad penuntut tertera International Institute of Islamic Thought and Civilization dengan status “Kembali ke sekolah, doakan saya.”

Pengumuman berkenaan turut mendapat perhatian daripada warga TikTok dan teruja baginda melanjutkan akan melanjutkan pengajian.

Malah ada juga netizen yang berharap berjumpa baginda di pusat pengajian berkenaan serta menitipkan beberapa nasihat.

“Tuanku, selamat menjadi mahasiswa IIUM. Semoga kita dapat bersua muka di mana-mana kuliyah nanti, amin,” kata seorang pengguna TikTok.

“Jangan lewat buat tugasan Tuanku,” seloroh mereka.

UIAM turut berkongsi hantaran Tunku Azizah mengenai berita berkenaan di laman Facebook mereka.

Baginda sebelum ini dilapor dilantik semula sebagai Ketua Perlembagaan UIAM bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Pelantikan semula Tunku Azizah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top