Kembali bergelar pelajar, Tomok lanjut pengajian di peringkat Ijazah Sarjana

Kembali bergelar pelajar, Tomok lanjut pengajian di peringkat Ijazah Sarjana

PETALING JAYA: “Biasanya ayah, ibu hantar anak anak, ini terbalik pula. Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik.”

Demikian kata penyanyi, Tomok yang kembali melanjutkan pelajarannya di peringkat ijazah sarjana atau ‘Master’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menerusi sebuah hantaran video di Instagram, Tomok atau Shah Indrawan Ismail menghadiri hari pendaftaran di institusi pengajian tersebut dengan ditemani oleh isterinya, Rahayu Abas dan anak-anaknya.

Tomok yang dilihat mengenakan baju kemeja lengan panjang berwarna hitam juga berkongsi momen ketika menerima kad siswa, menghadiri orientasi dan melawat ke beberapa bangunan pengajian.

Sementara itu, pelakon lagu Istanbul Aku Datang tersebut juga dilihat teruja untuk menyambung pengajiannya dalam program Sarjana Pengajian Persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminatnya memuji semangatnya untuk terus menimba ilmu secara tidak langsung menjadikan penyanyi itu sebagai inspirasi.

“Saya bangga menjadi salah seorang peminat Tomok dan New Boyz. Selamat maju jaya, selamat menjadi pelajar,” komen seorang peminatnya.

“Selamat maju jaya Tomok. Semoga dipermudahkan semuanya dan berjaya dengan cemerlang,” komen pengikutnya.-UTUSAN

Scroll to Top