rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua bangkai kucing yang ditemukan mati di dalam kawasan Universiti Malaya (UM) dihantar ke Makmal Veterinar untuk bedah siasat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia membabitkan bangkai kucing yang dilaporkan seorang aktivis haiwan dan kucing yang ditemui mati semalam.
“Polis sudah merakam keterangan aktivis haiwan terbabit dan bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember lalu sudah diserahkan kepada polis.
“Bangkai kucing itu dihantar ke Makmal Veterinar bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat akan dilakukan esok.
“Pemeriksaan dan bedah siasat sama turut akan dilakukan kepada kucing yang ditemui dekat Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, setakat ini seramai tujuh individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, mereka terdiri daripada pensyarah, penuntut universiti dan aktivis haiwan terbabit.
Harian Metro semalam melaporkan, selepas lima kucing dilaporkan mati didakwa dibunuh di UM, seekor lagi bangkai kucing ditemukan berhampiran pusat gimnasium universiti berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) menerusi satu kenyataan yang tular.
Haiwan peliharaan itu turut didakwa dibunuh dengan cara sama dengan perut dibelah dan usus dikeluarkan.
Sebelum ini, aktivis haiwan, Shima Aris tampil mendedahkan hasil pemeriksaan terperinci oleh doktor veterinar di sebuah klinik swasta terhadap kucing kelima mati bernama Lily yang turut melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas bangkai haiwan malang berkenaan.
Sebelum Lily ditemukan mati, dua kucing lain yang keempat-empat kakinya seperti dipotong dan perutnya juga terbelah ditemukan tidak bernyawa di universiti itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd