Keluarga reda, enggan ambil tindakan terhadap peniaga terlibat

Keluarga reda, enggan ambil tindakan terhadap peniaga terlibat

BUTTERWORTH : Keluarga kepada Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang meninggal dunia selepas tercekik gula-gula ‘gummy’ Selasa lalu tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menjual makanan ringan tersebut ketika ini.

Sebaliknya, bapa mangsa, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, mereka cuma berharap agar kejadian seperti itu tidak menimpa kanak-kanak lain selepas ini.

“Kami juga tidak salahkan sesiapa kerana takdir ini (kehilangan Mohammad Fahmi Hafiz) sudah tertulis buat kami sekeluarga.

“Ikutkan hati, saya tidak mahu membuat laporan polis pun. Namun, kami perlu akur memandangkan kejadian berlaku dalam kawasan sekolah sekali gus membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga di sini, hari ini.

Tambah Mohammad Fakhruddin, sijil kematian anak sulung daripada dua beradik itu turut mengesahkan bahawa punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan oleh komplikasi tersedak dan pneumonia atau HIE.

Terdahulu, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.20 petang tadi dengan dihadiri oleh ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk setempat.

Sementara itu, nenek kepada Mohammad Fahmi Hafiz, Siti Amin Ismail, 61, berkata, arwah cucunya seorang yang manja dan rajin ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum belajar mengaji di rumahnya di Kampung Permatang Binjai.

“Isnin lepas, arwah amat manja, malah, dia meminta babanya (ayah) menyuapnya nasi. Apapun, kami sekeluarga tetap reda dengan ujian Allah SWT ini,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top