Sebut sahaja nama Sajat, ramai tahu bahawa usahawan kosmetik tersebut masih gagal dijejaki oleh pihak berkuasa walaupun masih aktif berkongsi gambar di Instagram.
Bagaimanapun, ketika ramai yang mempersoalkan keberadaan pemilik nama Muhammad Sajjad Kamaruzzaman itu, adiknya Mustika menarik perhatian ramai dengan video parodi Sajat yang tular di aplikasi TikTok.
Memetik tembubual bersama pihak mStar, wanita bernama Nur Mustika Kamaruzzaman terbabit mengakui penat melayan segala pertanyaan netizen tentang jantina Sajat.
“Memang penat nak jawab soalan macam ni, sejak Sajat famous yang paling terkesan nak menjawab soalan itu adalah saya sebab muka kami serupa.
“Orang sampai tak tahu yang Sajat ada adik-beradik lain sebab muka mereka tak sama macam saya,” ujarnya kepada mStar.
Mesra disapa Ika, wanita itu turut mendedahkan peribadi sebenar Sajat yang berbeza dari apa yang ditampilkan di laman sosial iaitu dia disifatkan sebagai seorang yang pendiam.
“Dia diam dan jenis yang memerhati. Bila dia bercakap jadi kelakar sebab dia bukan seorang yang ‘talkative’. Dia banyak berfikir,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, apabila disoal tentang kedudukan abangnya yang masih menjadi misteri, Mustika mengakui bahawa dia sendiri tidak mengetahui perihal Sajat.
“Saya tak tahu fasal Sajat dan kalau boleh tak nak ambil tahu, bukan sebab tak kisah pasal dia… tetapi saya ada kehidupan saya sendiri.
“Apa yang dia tengah lalui itu terlalu besar, mungkin hanya dia sahaja yang boleh selesaikan. Kuat dia tu kan? Kalau fikir balik, saya pun tak kuat macam dia,” katanya.
Bercerita tentang keadaan anak angkat Sajat iaitu pasangan kembar Syaza dan Syahmi, Mustika meluahkan rasa simpati terhadap kanak-kanak berkenaan yang sudah lama tidak bertemu dengan Sajat.
“Ika kesian dengan anak-anak dia. Disebabkan muka Ika macam dia, anak dia tengok je Ika tau. Lama dah tak jumpa Sajat. Terhuyung-hayang dia, dengan siapa dia nak bermanja?” luahnya penuh emosi.
Menjengah ke ruangan komen di Instagram mStar, rata-rata netizen mendoakan agar Sajat menyerah diri kembali pulang ke pangkuan keluarga.
Dalam pada itu, ada juga yang memuji kecantikan adiknya itu.
Terdahulu, video Mustika menjadi tular di aplikasi TikTok apabila dia menggunakan audio suara Sajat sebagai parodi.
Malah ramai juga yang berasa agak keliru kerana wanita itu dibayangi perwatakan Sajat berikutan wajah adik-beradik tersebut dilihat sangat mirip.
Sumber: mStar (Hawa Soleha Saleem)