Keluarga lelaki orang kurang upaya (OKU) bagi kategori mental yang dipukul kejadian pukul di Kemaman, Terengganu pada Jumaat memberitahu tak akan tarik laporan polis dan akan meneruskan tindakan saman.
Menurut laporan Sinar Harian, Faridah Abdul Karim, 44, turut mendedahkan dia tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada mana-mana pihak berhubung apa yang berlaku terhadap suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.
Tak akan tarik laporan polis
Artikel lain: Nasib lelaki OKU akhirnya terbela! Akmal Saleh mahu seret pelaku ke mahkamah
“Sehingga kini tiada yang datang berjumpa untuk memohon maaf kepada kami sekeluarga, cuma saya ada terima panggilan telefon salah seorang daripada mereka.
“Saya sebagai isteri tidak sanggup berjumpa mereka pun saya belum sedia. Sukar untuk saya maafkan dan tidak sesekali maafkan kerana mereka bertindak di luar batas kemanusiaan, sedangkan suami saya telah berkali-kali minta maaf.
“Mereka tahu suami saya OKU kategori mental, namun tetap memukul tanpa belas kasihan dan sehingga kini kami sekeluarga trauma, saya sendiri sukar melelapkan mata selepas kejadian itu,” katanya.
Tak akan tarik laporan polis
Faridah sekeluarga menerima kunjungan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin di Kuala Ibai di sini, pada Isnin.
Malah, dia turut berkesempatan berbual bersama Ahmad Zahid menerusi panggilan video yang bersimpati atas insiden yang berlaku terhadap suaminya.
“Saya telah melihat video tular tersebut dan sangat bersimpati dengan apa yang berlaku.
“Saya harap dia cepat sihat dan apabila keluar (dari hospital) nanti, keluarga akan terus menjaganya dengan baik terutama ketika situasinya tidak stabil,” katanya menerusi panggilan video tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki OKU telah dikasari oleh sekumpulan individu tanpa belas ihsan selepas terlanggar gerai makanan di tapak Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada Jumaat.
Sumber: Sinar Harian (Norhaspida Yatim)