am@hmetro.com.my
Taiping: Satu siasatan telus perlu dibuat terhadap pengurusan Penjara Taiping berhubung kematian seorang banduan lelaki didakwa akibat dipukul pada 17 Januari lalu.
Pengerusi Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Kebangsaan P Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada ahli keluarga mangsa.
“Kita difahamkan lebih 100 banduan yang majoritinya dipindahkan dari Penjara Batu Gajah dipukul sehingga menyebabkan kematian seoang tahanan berusia 61 tahun.
“Kejadian dikatakan berpunca apabila seorang tahanan meminta seorang wardar penjara untuk dipindahkan ke tempat lain.
“Namun keesokkannya difahamkan lebih 50 wardar penjara datang dan didakwa memukul tahanan dengan cota termasuk menggunakan gas pemedih mata,” katanya dalam sidang media di hadapan Penjara Taiping, di sini, hari ini.
Setiausaha Urimai M Satees mendakwa pihaknya difahamkan kejadian berlaku akibat balas dendam kepada tahanan selepas satu insiden tiga wardar penjara dipukul pada tahun lalu.
“Mereka (tahanan) ini sebenarnya masih dalam siasatan dan belum didapati bersalah.
“Paling mengecewakan, pihak penjara memaklumkan ahli keluarga bahawa kematian lelaki terbabit disebabkan serangan jantung.
“Sebaliknya, pihak Hospital Taiping mengesahkan punca kematian mangsa adalah terdapat tulang dalaman patah dipercayai dipukul dan memberi kesan pada jantungnya,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd