Keluarga bekas pemilik Leicester yang terkorban nahas helikoper fail tuntutan RM11.8 bilion

Keluarga bekas pemilik Leicester yang terkorban nahas helikoper fail tuntutan RM11.8 bilion

London: Keluarga bekas pemilik Leicester City yang maut dalam nahas helikopter memfailkan tuntutan undang-undang bernilai £2.15 bilion (RM11.8 bilion) terhadap pengilang helikopter berkenaan.

Vichai Srivaddhanaprabha dan empat individu lain terbunuh apabila helikopter peribadi milik bilionair Thailand itu terhempas sejurus selepas berlepas dari Stadium King Power, milik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pada Oktober 2018.

Keluarga Srivaddhanaprabha mendakwa Leonardo S.p.A., pengilang helikopter berkenaan, bertanggungjawab atas kematiannya.

Mereka kini menuntut pampasan sebanyak £2.15 bilion atas kehilangan pendapatan akibat kematian Vichai, kesakitan yang dialaminya sebelum meninggal dunia, serta kos pengebumian, menurut wakil guaman keluarga itu, Stewarts Law.

Menurut laporan oleh Air Accident Investigation Branch (AAIB) Britain, “kebimbangan serius” dibangkitkan mengenai keselamatan helikopter berkenaan, kata Stewarts.

Laporan itu menyatakan bahawa nahas itu berpunca daripada kegagalan komponen utama di bahagian rotor ekor, yang sudah dikenalpasti oleh Leonardo semasa fasa reka bentuk sebagai komponen kritikal.

“Kegagalan ini mencetuskan rangkaian kegagalan yang menyebabkan helikopter tidak terkawal dan berpusing dengan laju sehingga ia terhempas dan terbakar,” menurut kenyataan Stewarts.

Proses reka bentuk Leonardo didakwa mengalami pelbagai kegagalan yang menyebabkan komponen berkenaan rosak, tambah Stewarts.

“Laporan AAIB menyimpulkan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh juruterbang untuk mengelakkan nahas itu,” katanya lagi.

Aiyawatt Srivaddhanaprabha, yang menggantikan bapanya sebagai pengerusi Leicester, berkata: “Keluarga saya merasai kehilangan ayah saya seperti mana yang kami rasakan pada hari pertama kejadian.

“Fakta bahawa anak-anak saya dan sepupu mereka tidak akan mengenali datuk mereka menambah penderitaan kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top