
Hevel, Palmero – Foto Facebook Football Association of Malaysia
PEMAIN Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menyifatkan kelibat dua pemain warisan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero diyakini bakal membakar semangat skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac ini.
Menurutnya, Syamer, selain mewujudkan persaingan sihat dalam kem latihan, kelibat kedua-dua pemain berkenaan juga secara tidak langsung memberikan motivasi kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik berdepan skuad The Gorkhalis itu.
“Saya rasa semestinya pemain warisan yang baharu menyertai kem latihan ini akan membantu pasukan dan mewujudkan saingan yang lebih sihat dari setiap posisi.
“Kehadiran pemain warisan ini juga akan menaikkan komposisi pasukan dan secara tidak langsung menaikkan prestasi setiap pemain dalam pasukan.
“Selain itu, pemain berdarah Malaysia di luar negara ini juga akan menaikkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar menjelang aksi kelayakan berkenaan.
Sesi latihan Harimau Malaya dibawah kendalian Peter Cklamovski masuk hari ketiga pada Rabu dan dan kelibat Hevel dan Palmero nyata mencuri tumpuan ramai.
Menerusi satu ciapan di laman Instagram Malaysia National Team, Hevel dan Palmero dilihat sudah mula menjalani latihan dengan dipantau oleh Ketua Jurulatih skuad bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain yang turut membantu Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski pada sesi latihan pusat kali ini.
Sementara itu, Syamer berkata, dia bersedia untuk beraksi di mana-mana sahaja posisi mengikut percaturan ketua jurulatih kelak.
Pemain tengah Pulau Pinang FC (PFC) itu berkata, dia juga bersedia untuk memberikan segalanya dalam usaha menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan kali ini.
“Saya pemain yang boleh beraksi di dua ke tiga posisi dalam pasukan; jadi itu diharap memberikan kelainan kepada ketua jurulatih dan saya harap sangat dengan apa yang saya boleh berikan ini akan dapat membantu pasukan dalam perlawanan nanti.
“Saya rasa mungkin juga ada perubahan posisi, baik kekal di bahagian tengah atau ditukarkan ke bek tengah; namun apa juga posisi yang diberikan, saya akan memberikan yang terbaik agar terpilih dalam kesebelasan utama nanti,” ujarnya.