H arapan daripada pasangan yang mengikat tali perkahwinan adalah kekal bahagia hingga ke syurga. Namun harapan tinggal harapan jika rumahtangga yang dibina dilanda badai akibat tiada kesefahaman kerana kedudukan yang tidak setaraf. Bayangkan jika kapal yang berlayar di lautan, mengharungi ombak tidak menentu. Jika nakhoda dan anak kapal tidak mempunyai hala tuju yang sama, kapal mungkin tersasar atau karam, sama seperti perkahwinan tanpa hala tuju yang jelas. Begitu juga dalam perkahwinan tanpa keserasian dan persefahaman, rumah tangga boleh berdepan dengan gelombang ujian yang sukar dikawal. Inilah sebabnya mengapa konsep sekufu dalam perkahwinan sangat penting.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sekufu bermaksud ‘setaraf, sedarjat, dan sama martabatnya.’ Dalam Islam, sekufu atau kafa’ah merujuk kepada kesepadanan antara pasangan dari sudut agama, akhlak, dan kedudukan sosial bagi memastikan keharmonian rumahtangga. Konsep ini bukan mendiskriminasi tetapi lebih kepada faktor kestabilan yang boleh membawa kepada kebahagiaan jangka panjang.
Mengapa sekufu penting dalam perkahwinan?
Lihatlah di sekeliling kita, ada pasangan kelihatan bahagia kerana mereka memiliki keserasian dalam aspek penting, tetapi ada juga yang bergelut dengan perbezaan yang sukar dijembatani. Namun, ada juga yang menghadapi cabaran besar kerana jurang yang terlalu luas dari segi latar belakang, nilai hidup, dan pemikiran. Rasulullah SAW bersabda:
“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu beruntung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa agama merupakan aspek utama dalam pemilihan pasangan, tetapi faktor lain seperti keserasian sosial dan ekonomi juga tidak boleh dipandang remeh.
Bagaimana Islam melihat konsep sekufu?
Salah satu contoh dalam sejarah Islam yang menunjukkan perbincangan tentang konsep sekufu adalah perkahwinan antara Zainab binti Jahsy dan Zaid bin Harithah. Zainab berasal daripada keturunan Quraisy yang mulia, manakala Zaid ialah seorang bekas hamba yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW. Perkahwinan mereka adalah bukti bahawa Islam menekankan nilai akhlak dan ketakwaan sebagai faktor utama dalam hubungan, namun faktor sosial dan penerimaan masyarakat juga boleh memberi kesan kepada perjalanan sebuah perkahwinan. Dalam kes Zainab dan Zaid, perbezaan status sosial yang ketara menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi perkahwinan mereka. Ini menunjukkan walaupun agama dan akhlak menjadi keutamaan dalam Islam, faktor sosial dan budaya tetap memainkan peranan dalam kestabilan rumah tangga, terutamanya dalam konteks penerimaan pasangan oleh masyarakat dan keluarga. Keserasian dalam akhlak dan nilai agama tetap menjadi keutamaan.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kafa’ah dalam Islam melibatkan beberapa aspek utama. Konsep ini tidak hanya membincangkan keserasian dari segi kedudukan sosial semata-mata tetapi lebih kepada faktor agama dan akhlak yang menjadi asas kebahagiaan rumah tangga.
• Agama dan akhlak
Pasangan yang memiliki pegangan agama dan akhlak yang baik lebih mudah membina rumah tangga yang sejahtera dan penuh keberkatan.
• Kekayaan dan pekerjaan
Keseimbangan dari segi ekonomi membantu kestabilan rumah tangga. Walaupun rezeki datang daripada Allah, perancangan kewangan yang baik amat digalakkan.
• Kebebasan daripada kekurangan fizikal dan mental
Kesihatan pasangan turut diambil kira agar kehidupan berumahtangga dapat dijalani dengan lebih baik.
Kelebihan sekufu
Pengamatan penulis selaku kaunselor dan pegawai rundingcara keluarga, pasangan sekufu memberikan banyak kelebihan yang boleh membantu mewujudkan perkahwinan yang lebih stabil dan harmoni. Keserasian dalam pelbagai aspek bukan sahaja menjadikan kehidupan berumah tangga lebih lancar, malah dapat mengelakkan konflik yang berpunca daripada perbezaan yang sukar diselaraskan. Berikut adalah kelebihan utama sekufu dalam perkahwinan:
• Mengurangkan konflik
Apabila pasangan mempunyai nilai hidup dan latar belakang yang hampir sama, mereka cenderung untuk melihat sesuatu dari perspektif yang serupa. Ini memudahkan penyelesaian masalah dan mengelakkan pertelingkahan yang berpunca daripada perbezaan prinsip dan cara hidup. Perbezaan yang terlalu ketara, jika tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan perselisihan faham yang berpanjangan dan menjejaskan keharmonian rumah tangga.
• Memudahkan komunikasi
Pasangan yang sekufu dari segi pendidikan dan latar belakang budaya biasanya mempunyai cara komunikasi yang lebih serasi. Mereka dapat memahami gaya bahasa, pemikiran, dan cara penyampaian masing-masing dengan lebih mudah. Keserasian ini membantu dalam mengelakkan salah faham dan membolehkan mereka berbincang serta menyelesaikan isu dengan lebih berkesan.
• Membantu membentuk matlamat hidup yang seiring
Pasangan yang sekufu lebih mudah mencapai kesepakatan dalam merancang kehidupan mereka, termasuk dalam aspek kewangan, pendidikan anak-anak, dan perancangan masa depan. Apabila kedua-duanya berkongsi aspirasi dan nilai yang sama, mereka lebih cenderung untuk bekerjasama dan saling menyokong dalam mencapai matlamat keluarga. Perbezaan yang terlalu ketara boleh menyebabkan pertembungan pandangan yang menyukarkan perancangan jangka panjang.
• Pupuk emosi sejahtera
Hubungan berlandaskan sekufu sering membawa kestabilan emosi dalam rumah tangga. Apabila pasangan berasa serasi, mereka mudah berkongsi perasaan, memahami keperluan emosi, dan memberikan sokongan diperlukan. Ini membantu mewujudkan perkahwinan lebih bahagia dan kurang tekanan.
Adakah semua pasangan memerlukan sekufu?
Persoalan sama ada sekufu itu penting dalam perkahwinan sering dibincangkan. Ada yang percaya ia menjamin kestabilan rumah tangga, sementara yang lain berpendapat komitmen dan usaha bersama lebih utama. Islam tidak meletakkan sekufu sebagai syarat sah nikah, tetapi ia boleh membantu keharmonian rumah tangga. Ada pasangan mungkin tidak memenuhi semua aspek sekufu tetapi berjaya membina rumah tangga bahagia kerana saling memahami.
Namun, tidak semua pasangan perlu sekufu dalam setiap aspek. Banyak perkahwinan berjaya kerana pasangan saling memahami dan bertolak ansur walaupun terdapat perbezaan sosial, ekonomi, atau pendidikan.
Jika pasangan tidak sekufu dalam beberapa aspek, komunikasi berkesan, toleransi, dan usaha mencari titik persamaan dapat membantu mengekalkan keharmonian rumah tangga. Pasangan yang mempunyai perbezaan dalam latar belakang atau cara hidup boleh membina hubungan yang kukuh dengan beberapa cara:
• Komunikasi berkesan
Pasangan harus sentiasa berbincang secara terbuka mengenai nilai, harapan, dan keutamaan masing-masing.
• Toleransi dan fleksibiliti
Setiap individu perlu bersikap terbuka untuk menyesuaikan diri dengan budaya atau gaya hidup pasangan.
• Mencari titik persamaan
Walaupun terdapat perbezaan, mencari titik persamaan dalam prinsip asas seperti kepercayaan, matlamat hidup, dan cara membesarkan anak-anak dapat membantu mengekalkan keharmonian.
• Sokongan keluarga dan masyarakat
Memastikan hubungan kekal baik dengan keluargadan persekitaran sosial pasangan boleh membantu mengurangkan tekanan akibat perbezaan latarbelakang.
Sekufu bukan sekadar taraf atau kedudukan sosial, tetapi lebih kepada keserasian dalam nilai hidup, pemikiran, dan matlamat. Walaupun ia bukan satu-satunya penentu kebahagiaan, ia menjadi faktor membantu memastikan rumah tangga lebih stabil dan harmoni. Apa yang lebih penting adalah usaha, komunikasi yang baik, dan sikap saling memahami antara suami isteri. Perkahwinan bukan hanya soal bersanding di pelamin, tetapi tentang membina kehidupan bersama dalam jangka panjang. Rasulullah menganjurkan sekufu dijadikan pertimbangan dalam pemilihan jodoh selain aspek akhlak dan agama.
Penulis Ketua Pendaftar Wilayah-Wilayah Persekutuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
© New Straits Times Press (M) Bhd