
Sentuhan Salah, Szoboszlai tenang tumbangkan Manchester City di Etihad – Foto: Agensi
PENGENDALI Liverpool, Arne Slot, menyifatkan kelebihan 11 mata di hadapan pencabar terdekat, Arsenal selepas menewaskan Manchester City 2-0 di Stadium Etihad, meletakkan The Reds dalam kedudukan yang selesa untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Gol pada separuh masa pertama menerusi Mohamed Salah dan Dominik Szoboszlai sudah cukup untuk memanjangkan rekod tanpa kalah Liverpool, biarpun Arsenal kendalian Mikel Arteta kurang satu perlawanan.
“Anda boleh bertanya apa sahaja soalan. Namun, sukar untuk menilai kedudukan liga sebelum setiap perlawanan. Pada pandangan saya, perlawanan di tempat lawan menentang Aston Villa dan City adalah dua perlawanan yang amat sukar dan kami mungkin kehilangan mata di sana.
“Kami berada dalam kedudukan yang baik, tetapi kami juga tahu betapa sukarnya menentang Wolves. Kami akan berdepan Newcastle pada Khamis ini, yang mana kami seri 3-3 sebelum ini. Dalam liga lain, kelebihan ini mungkin dianggap selesa.
“Tiga hari lalu, kami seri di Villa dan ramai yang beranggapan kami tidak berada di kedudukan yang baik. Kemudian, tiga hari kemudian, kami menang dan kedudukan berubah. Kami bekerja keras setiap hari untuk mencapai ini dan ia adalah hasil tiga bulan kerja keras. Tiada rahsia di sebalik kejayaan ini. Kami 11 mata di hadapan, tetapi Arsenal masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan,” kata bekas pengendali Feyenoord itu.
Sementara itu, Salah yang kini telah meledak 30 gol dan 21 bantuan dalam semua pertandingan musim ini, menerima pujian daripada Andy Robertson.
“Dia berada di dunia yang berbeza sekarang dan bermain dengan sangat baik,” kata pemain pertahanan kiri itu.
Salah turut ditanya sama ada beliau adalah pemain yang lebih baik pada usia 32 tahun ini berbanding sebelum ini.
“Mungkin ada yang lebih menyukai saya pada musim-musim awal atau yang sekarang, tetapi saya lebih suka yang sekarang kerana saya dapat membantu pasukan memenangi liga dan membimbing pemain-pemain muda. Ia adalah sesuatu yang istimewa.
“Kami dahagakan kejuaraan. Saya dan pemain-pemain senior dalam pasukan ini mahukan lebih banyak trofi,” tegasnya.