nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 42,700 kelapa ke Thailand yang membabitkan nilai keseluruhan RM1.2 juta, di pangkalan haram Bahaman, Pengkalan Kubor, di sini, malam kelmarin.
Rampasan itu dilakukan Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan, jam 10.30 malam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan tiga lelaki yang disyaki menyeludup kelapa di stor pangkalan haram itu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 42,700 kelapa ditemukan di dalam sebuah treler dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand.
“Tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 38 tahun itu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa berkenaan ke negara Thailand.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM1.2 juta termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Fama).
“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd