SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berakhir semalam. Sidang kali ini membentangkan Belanjawan Perlis 2025 bertemakan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’ yang memperuntukan RM303.28 juta iaitu yang terbesar dalam sejarah negeri ini.
Belanjawan berkenaan dilihat inklusif demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri agar terus berdaya saing ke arah negeri bandar raya menjelang 2030.
Apa yang menarik perhatian dalam pembentangan belanjawan kali ini apabila kerajaan negeri memperkenalkan Perlisku Bestari Anjung Madinah iaitu inisiatif progresif berasaskan model Madinah al-Munawwarah yang menekankan keadilan dan inklusiviti sosial.
Jika Kelantan terkenal gelaran serambi Mekah, Perlis dibawah pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli pula mahu Perlis selepas ini sinonim dengan julukan negeri anjung Madinah sebagai asas pembinaan sesebuah negeri.
Melalui model berkenaan, ia merangkumi pemerintahan yang memberi penekanan kepada prinsip Islam yang menyeluruh dalam tadbir urus selain merangkumi semua aspek pembangunan negeri.
Selain itu, ia juga mencakupi konsep pendidikan bagi memastikan rakyat Perlis berpendidikan tinggi. Sebagai langkah proaktif bagi menjayakan inisiatif tersebut, kerajaan negeri akan melancarkan projek rintis bagi menjalinkan hubungan lebih dekat dengan bandaraya Madinah.
Langkah tersebut diambil selepas lebih dua tahun pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menerapkan nilai atau prinsip Islam dan pendidikan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Ia secara perlahan-perlahan akan mula meresap sebagaimana di Kelantan yang kekal sinonim dengan identiti pentadbiran Islam hingga digelar sebagai negeri Serambi Mekah.
Untuk Kelantan kekal dengan identiti tersebut, ia bukan satu perjalanan mudah kerana Pas yang mengambil alih negeri tersebut pada tahun 1990 ketika itu di bawah pimpinan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya mengimplementasikannya dan diteruskan pimpinan selepas itu.
Apabila sudah ada model, pentadbiran pimpinan Mohd. Shukri akan lebih terancang dengan mengikut panduan tersebut untuk membangunkan sesebuah negeri.
“Insya-Allah kita akan bergerak ke arah itu dengan menjadikan model Madinah sebagai asas pembangunan negeri dan dalam semua bidang. Madinah paling tepat kita pilih sebagai panduan pembangunan negeri Perlis.
“Jika Kelantan serambi Mekah dengan merujuk pembangunan Mekah sebagai pusat umat Islam yang utama, kita menjadikan Madinah sebagai asas pembinaan sesebuah negeri,” kata Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri.
Mohd. Shukri yang juga Pengerusi PN negeri berkata, selain itu, model tersebut juga memupuk perpaduan kaum serta agama berlandaskan semangat persaudaraan dan toleransi.
Ini termasuk melancarkan projek rintis bagi menjalinkan hubungan lebih dekat dengan bandaraya Madinah seperti mewujudkan program pertukaran pendidikan dan kebudayaan Perlis-Madinah.
Ia sekali gus menghubungkan institusi pendidikan, pusat kebudayaan dan komuniti antara kedua-dua tempat berkenaan dengan kerjasama universiti untuk penyelidikan bersama, pertukaran pelajar serta latihan kepimpinan Islam.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan dan kefahaman antara dua komuniti tetapi menyemarakkan nilai-nilai Islam inklusif sambil membina rangkaian antarabangsa yang kukuh,” katanya.-UTUSAN