bhnews@bh.com.my
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merayu kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk penambahan bekalan vaksin COVID-19 bagi memastikan rakyat negeri itu menerima vaksin sebelum musim tengkujuh.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihaknya bimbang jika sasaran 80 peratus penerima vaksin tidak dicapai bagi mendapatkan perlindungan daripada penularan wabak sepanjang musim banjir.
Katanya, dijangkakan pada akhir Ogos, sebanyak 40 peratus rakyat negeri itu menerima suntikan vaksin sekiranya bekalan dapat diperoleh mengikut jadual yang ditetapkan.
“Setakat ini, bagi dos pertama sekitar 30 peratus rakyat Kelantan menerima suntikan, manakala lebih 13 peratus penduduk sudah lengkap menerima dos kedua.
“Sebelum ini, kerajaan negeri membuat permohonan kepada MOSTI untuk mendapatkan satu juta dos vaksin di Kelantan agar dapat memberi lebih 30,000 suntikan sehari sekali gus mengoptimumkan pengoperasian 27 pusat pemberian vaksin (PPV) yang ada di seluruh negeri ini.
“Selain itu, kita juga bersedia menjalankan pemberian vaksin COVID-19 secara ‘walk- in’ sekiranya bekalan yang diperoleh mengikut permintaan, selain akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk melaksanakanya,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail.
Ahmad turut menyeru rakyat untuk menyambut dan meraikan Bulan Kemerdekaan pada kali ke-64 tahun ini, yang mana terdapat aktiviti yang diadakan secara maya walapun tidak dapat bertemu secara fizikal bagi memupuk semangat patriotisme.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai usaha dan aktiviti di samping untuk membantu rakyat dengan kebajikan ekonomi seterusnya mengekalkan keadaan aman damai dalam kalangan rakyat sendiri.
“Orang ramai juga diharap prihatin untuk bersama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi pandemik COVID-19 yang masih lagi belum dapat kita putuskan, sejajar dengan tema Bulan Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd