Kelantan FC tersungkur lagi, tewas 0-5 dengan Sri Pahang

Kelantan FC tersungkur lagi, tewas 0-5 dengan Sri Pahang

Pemain Sri Pahang FC Kpah Seam Sherman (tengah) diasak pemain Pemain Kelantan FC Muhammad Yusri Yuhasmadi (kiri) dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini malam ini.- Foto Bernama.

KOTA BHARU – Pengendali baharu Kelantan FC, Alfredo Vera perlu melakukan lebih banyak tugas selepas penampilan pertama mengurus The Reds Warriors (TRW) berakhir dengan kekalahan 0-5 kepada Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat.

Itu kesimpulan yang boleh dirumuskan terhadap Vera berusia 50 tahun kelahiran Argentina, ketua jurulatih ketiga TRW musim ini selepas Frank Bernhardt (Jerman) dan Choi Moon-sik (Korea Selatan).

Taruhan sebagai bekas pengendali kelab Liga 1 Indonesia, Persita Tangerang, TRW bermula garang lima minit pertama ketika berdepan anak buah Fandi Ahmad.

Bagaimanapun Sri Pahang yang tampil lebih berpengalaman tenang mengawal permainan terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Sergio Aguero pada minit ketujuh sekali gus menyentap kira-kira 3,528 penonton bagi membolehkan skuad Tok Gajah memimpin separuh masa pertama 1-0.

Separuh masa kedua, Kelantan yang tampil tanpa beberapa tonggak utama menggunakan beberapa pemain muda berusaha kembali dalam permainan apabila menguji penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi Roslan.

Bagaimanapun Sri Pahang yang bermotivasi tinggi dengan kemenangan 4-3 ke atas Negeri Sembilan FC di Kuantan pada 9 Jun lalu tampil lebih kemas pada babak kedua.

Hasilnya, empat gol Tok Gajah dijelmakan oleh Fadhli Shas (minit ke-48′, m-61) dan Kpah Sherman (m-58′, 86′) untuk tiga mata dari bumi Cik Siti Wan Kembang tersebut.

Kekalahan ke-12 liga selepas mengharungi 14 perlawanan menyaksikan Kelantan kekal di tangga ke-14 liga – satu menang, satu seri, 12 tewas.

Sementara itu, Sri Pahang naik satu tangga di kedudukan ketiga dengan 31 mata – sembilan menang, empat seri, dua tewas – selepas 15 kali beraksi.

Kelantan selepas ini dijadualkan berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya pada 8 Julai depan manakala Sri Pahang melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Darul Makmur (9 Julai).

Scroll to Top