PETALING JAYA: Kelab Liga Malaysia (Liga M) jangan bermimpi untuk memancing pemain warisan yang bakal menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi.
Ini kerana kebanyakan pasukan Liga M masih bergelut dengan masalah kewangan dan gagal menguruskan pasukan dengan baik kecuali beberapa pasukan sahaja.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, realiti kewangan kelab tempatan jelas tidak mengizinkan untuk membawa mereka ke saingan domestik.
“Dari segi kemampuan teknikal, sudah tentu mereka ini berkualiti tinggi kerana FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak akan sewenang-wenangnya memilih mereka untuk mewakili negara.
“Tetapi isunya, mampukah kelab Liga M menebus kontrak mereka di luar negara serta menampung gaji yang lebih tinggi berbanding pemain tempatan?” katanya Utusan Malaysia.
Harimau Malaya dijangka menerima sehingga lapan pemain warisan dalam masa terdekat dan situasi itu difahamkan menarik minat kelab Liga M untuk mengintai khidmat mereka.
Menurut Zulakbal, kebanyakan pemain warisan ini kini beraksi di liga Eropah, dan menebus kontrak mereka bukan satu perkara mudah kerana melibatkan kos yang besar.
“Saya percaya setiap kelab mahu mendapatkan pemain berkualiti, tetapi realitinya, kelab Liga M banyak bergelut dengan isu kewangan. Jangan berangan kalau poket pun tak tebal,” tegasnya.
Mengulas impak pemain warisan, Zulakbal yakin kehadiran mereka mampu meningkatkan mutu permainan Harimau Malaya khusus dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.
“Ini bukan soal pertaruhan atau perjudian. Kalau FAM bawa mereka masuk, sudah tentu mereka sudah dinilai dan diyakini boleh membantu pasukan kebangsaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa cabaran tetap ada kerana faktor persekitaran seperti cuaca, pemakanan, dan budaya hidup yang berbeza boleh memberi kesan kepada prestasi pemain warisan yang sebelum ini selesa dengan kehidupan di Eropah.
“Kalau mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini, prestasi mungkin menurun. Jadi, aspek psikologi dan transisi minda perlu diberi perhatian,” ujarnya lagi.-UTUSAN