
Suasana gerabak tren sesak (gambar kanan) selepas menjadi sasaran penumpang tanpa tiket. – Foto: Agensi
INDIA – Kemeriahan festival keagamaan Kumbh Mela di Prayagraj bertukar tragedi apabila berlaku kekecohan di stesen kereta api Bihar.
Video yang tular menunjukkan sekumpulan jemaah yang terdesak menyerang sebuah tren dengan batu selepas tidak dibenarkan naik ke gerabak yang sudah penuh sesak.
Rakaman yang dikongsi di media sosial memaparkan tingkap tren pecah dan kerosakan teruk akibat serangan tersebut.
Kejadian ini memberikan cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam menguruskan acara keagamaan terbesar di dunia itu.
Dalam usaha mencapai Sangam, lokasi pertemuan sungai suci di Prayagraj itu, ribuan jemaah berusaha menaiki tren walaupun tanpa tiket.
Akibatnya, perkhidmatan kereta api mengalami kesesakan luar biasa dengan gerabak am penuh sesak hingga ada yang terpaksa berdiri atau duduk di lantai.
Seorang penumpang, Piyush Agarwal berkongsi video perjalanannya dalam kelas pertama yang jauh lebih selesa.
Video tersebut menarik perhatian apabila menunjukkan keadaan tenang dalam gerabak kelas pertama sebelum dia membuka pintu kabinnya.
Namun, situasi berubah apabila pintu dibuka, ruang luar kabin dipenuhi wanita yang duduk di lantai manakala beberapa lelaki berdiri di lorong sempit.
Mereka dipercayai penumpang tanpa tiket yang memasuki gerabak eksklusif itu untuk mendapatkan tempat.
Video yang dimuat naik ke Instagram itu meraih lebih 28 juta tontonan dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Ramai yang terkejut melihat bagaimana gerabak kelas pertama juga menjadi sasaran penumpang tanpa tiket.
Seorang penumpang berkongsi pengalaman pahitnya ketika melalui situasi serupa.
“Saya seperti dalam tahanan rumah di dalam kabin. Kami tidak boleh ke tandas selama 16 jam kerana lorong dipenuhi orang,,” ujarnya.
Pengguna media sosial lain turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam tren yang sesak itu.
“Ini sangat tidak selamat,” katanya.