KEKALAHAN skuad ragbi 15 sebelah (15s) kebangsaan kepada Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada Sabtu membangkitkan persoalan besar mengenai masa depan dan hala tuju sukan ragbi di Malaysia.
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa menyifatkan keputusan itu bukan sekadar kekalahan biasa, sebaliknya satu manifestasi kelemahan yang sudah lama membelenggu pembangunan sukan tersebut di peringkat kebangsaan.
Skuad Bunga Raya 15s kendalian Mohd Saizul Hafifi Md Noor tewas 19-59 kepada Sri Lanka di dalam perlawanan yang berlangsung di Colombo.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan slot Divisyen Premier sebaliknya terpaksa bersaing di Divisyen Satu pada musim baharu ARC.
“Realitinya, kita tewas sebelum masuk padang. Dari segi persiapan, kita hanya bertemu kelab tempatan sebagai perlawanan pemanas badan, sedangkan Sri Lanka aktif dengan perlawanan antarabangsa. Jurangnya terlalu besar,” katanya.
Walaupun persiapan dianggap tidak setimpal dengan kepentingan perlawanan, Sadek tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu pemain atau barisan kejurulatihan.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa isu utama berpunca daripada kekangan dana yang telah lama mengekang program kompetitif skuad kebangsaan.
“Kita kena jujur, dana yang ada tidak cukup untuk menyediakan pasukan secara profesional. Ini bukan masalah baharu, tapi sudah lama menjadi beban kepada pembangunan ragbi negara,” jelas beliau.
Menurut Sadek, berdepan Sri Lanka — pasukan yang mempunyai kedudukan baik di Asia dan struktur pembangunan lebih kemas sememangnya satu cabaran berat.
Malah, beliau mengakui bahawa jika Malaysia berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut, ia boleh dianggap satu kejayaan luar biasa.
Mengulas lanjut aksi di Stadium Racecourse, Sadek berpandangan bahawa skuad negara masih bergelut untuk membina identiti permainan yang tersusun dari segi teknikal dan taktikal.
Malah, beberapa aspek asas seperti scrum dan line-out katanya masih belum mencapai tahap konsisten.
“Kita terlalu bergantung kepada kekuatan fizikal. Tetapi dari segi perancangan taktikal dan variasi serangan, masih kurang. Struktur permainan juga tidak berkembang,” katanya.
Beliau turut menegur tahap kecergasan pemain naturalisasi yang walaupun mempunyai kemahiran teknikal tinggi, gagal menyumbang sepenuhnya kerana faktor ketahanan fizikal.
“Apabila pemain naturalisasi tidak cukup cergas, beban tersebut jatuh kepada pemain tempatan. Ini akhirnya menjejaskan keseluruhan prestasi pasukan,” tambahnya.
usteru, dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang, Sadek mencadangkan agar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bekerjasama dengan pihak penaja bagi menyokong pembangunan pemain muda termasuk dalam kalangan pelajar universiti secara lebih menyeluruh.
“Kita perlu sistem yang menyokong pemain cemerlang dalam sukan ragbi, sama ada dalam atau luar negara.
“Mereka harus diberi tajaan bersyarat, contohnya wajib terus aktif bermain ragbi sepanjang pengajian,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa ramai pemain muda hari ini berhenti aktif dalam ragbi apabila menyambung pelajaran kerana tiada laluan jelas untuk meneruskan karier dalam sukan tersebut selepas tamat pengajian.
Malaysia kini berisiko terkeluar daripada kelompok elit Asia selepas kehilangan tempat dalam Divisyen Premier.
Sadek memberi amaran bahawa tanpa reformasi menyeluruh, penurunan ke Divisyen Kedua bukan sesuatu yang mustahil.
“Negara lain seperti UAE (Emiriah Arab Bersatu), Hong Kong dan Filipina sudah melangkah ke hadapan. Kita pula masih tercari-cari hala tuju.
“Kalau tiada tindakan segera, kita akan terus ketinggalan,” katanya.
Sadek menyifatkan kekalahan kepada Sri Lanka sebagai satu peringatan penting dan peluang untuk merombak sistem secara menyeluruh.
“Ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, kita perlu duduk semeja dan cipta satu formula baharu demi kelangsungan ragbi negara.
“Pembaharuan itu mesti bermula sekarang,” tegas beliau.