Kejayaan Zii Jia tambah sandaran buru emas Olimpik Tokyo – Utusan Digital

GEORGETOWN: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia boleh menjadi sandaran buat negara selain jaguh basikal dunia Azizulhasni Awang untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai ini. 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemenangan Zii Jia yang muncul sebagai juara Seluruh England semalam merupakan petanda pemain berusia 23 tahun itu mampu menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia dan negara. 

Menurut beliau, apa yang penting ketika ini adalah Zii Jia perlu memastikan prestasinya sentiasa konsisten selain menjaga kecergasan dan mengelak kecederaan. 

Jelasnya, walaupun masih terlalu awal (prematured) untuk menyatakan Zii Jia berada pada laluan tepat untuk memenangi emas Sukan Olimpik, tetapi dengan persiapan itu, pemain terbabit boleh menjadi sandaran utama negara selain atlet terjun dan berbasikal. 

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau secara peribadi melihat prestasi Zii Jia sedang meningkat naik dan seperkara yang diperhatikannya terhadap Zii Jia adalah kebangkitan pemain berkenaan sukar dihentikan (unstoppable) apabila berada pada kemuncaknya. 

“Mudah-mudahan kita dapat menyaksikan ‘unstoppable’ Zii Jia ini membawa sehingga ke tahap semasa dia beraksi di Sukan Olimpik nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Zii Jia semalam melakar kejutan apabila menewaskan pemain yang menghuni ranking kedua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi di Birmingham untuk muncul sebagai juara perseorangan lelaki kejohanan Seluruh England. 

Zii Jia yang juga pemain ke-10 dunia mempamerkan aksi cukup bertenaga dan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih sejam itu sebelum menang 30-29, 20-22, 21-9 ke atas Axelsen. 

Anak jati kelahiran Alor Star, Kedah itu terlebih dahulu mencipta kejutan terbesar dalam kejohanan tersebut apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota menerusi dua set langsung pada aksi separuh akhir dengan keputusan 21-16, 21-19. 

Dalam pada itu, Reezal Merican turut menyifatkan kemenangan Zii Jia telah membuka mata dunia yang mana dia merupakan pemain yang bakal menempatkan diri lebih tinggi di persada antarabangsa. 

Ujarnya, prestasi yang ditunjukkan Zii Jia sepanjang kejohanan Seluruh England minggu lalu juga amat mengagumkan dan mendapat liputan meluas antarabangsa sekali gus memberi isyarat kepada pemain badminton dunia lain berkenaan kewujudannya. 

Katanya, beliau sempat berhubung dengan Zii Jia selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada peringkat suku akhir yang melahirkan rasa cukup gembira dengan keputusan tersebut. 

Katanya, beliau turut memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada Zii Jia supaya fokus dan memusatkan segala usaha untuk berjaya sehingga ke peringkat perlawanan akhir. 

Dalam pada itu, Reezal Merican turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila menyifatkan prestasi pemain badminton negara pada Seluruh England kali ini menunjukkan banyak peningkatan. 

Katanya, keberanian BAM mempertaruhkan pelapis muda terutama pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menunjukkan negara tidak ketandusan pemain yang boleh memberi saingan sengit di peringkat lebih tinggi bukan hanya Sukan Olimpik malah Piala Thomas dan Piala Sudirman.  – UTUSAN