Kejayaan Azeem di AS bakar semangat atlet negara

Kejayaan Azeem di AS bakar semangat atlet negara
Kejayaan Azeem di AS bakar semangat atlet negara

Laporan Sukan Sinar berhubung kejayaan Azeem pecah rekod kebangsaan dalam acar 60 meter di AS

KEJAYAAN Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang membaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mampu menjadi pembakar semangat buat atlet pecut negara.

Bekas jaguh pecut kebangsaan, Nazmizan Muhammad juga percaya peluang buat atlet dalam acara riben biru tersebut untuk memahat nama di pentas antarabangsa juga adalah terbuka.

Justeru beliau berharap, kejayaan atlet berusia 21 tahun itu menjadi motivasi terbaik buat mereka untuk berusaha lebih gigih bagi mengampai impian di peringkat tertinggi.

“Meskipun Azeem berada dalam kelas berbeza – standard dunia, namun ia tidak seharusnya mematahkan semangat atlet lain untuk terus bekerja keras memburu prestasi terbaik.

“Mereka wajar menjadikan Azeem sebagai penanda aras untuk berada pada satu tahap terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar.

Azeem mencatat masa 6.60 saat (s) dalam saingan separuh akhir Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California.

Catatan tersebut sekali gus memadamkan rekodnya sendiri 6.62s di kejohanan sama pada 2023.

Nazmizam juga optimis pelari pecut negara termasuk Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Arsyad Md Saat berupaya untuk membuat kebangkitan semula.

Malah beliau berkata, pelari muda termasuk Hanssen Yap dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee juga berpeluang untuk menyerlah bersaing dengan Azeem.

“Peluang buat semua pelari adalah terbuka. Jadi mereka perlu rebut peluang ini berikan yang terbaik untuk bergelar atlet handalan bersama Azeem,” katanya.

Justeru beliau menambah, bagi merealisasikan hasrat tersebut mereka perlu konsisten dengan catatan masa terbaik, fokus ketika dalam latihan, bersaing secara kompetitif, jaga kesihatan dan elak daripada sebarang kecederaan.

“Ini kerana atlet yang bersaing di pentas tertinggi apabila ditimpa kecederaan agak sukar buat mereka untuk kembali ke prestasi terbaik.

“Proses pemulihan akibat kecederaan mengambil masa untuk pulih dan untuk dapatkan kembali prestasi terdahulu agak mencabar,” ujar Nazmizan.

Sebagai rekod Danish Iftikhar meraih pingat emas dalam acara 100m pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun lalu menerusi catatan masa 10.53s.

Hanssen pula memiliki rekod masa terbaik 10.37s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Filipina di Pasiq pada Mei tahun lalu.

Scroll to Top