Keisya Levronka kembali dengan Tak Ingin Usai

Keisya Levronka kembali dengan Tak Ingin Usai

KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Keisya Levronka  kini  tampil  dengan  single  baharu  berjudul Tak Ingin Usai yang  telah  dilancarkan  di bawah pengurusan Universal Music Indonesia pada 13 Mei lalu selepas  hampir  dua  tahun  tidak  mengeluarkan  karya  baharu.

Lagu itu merupakan buah tangan keempat Keisya Levronka selepas mengeluarkan Jadi Kekasihku Saja pada Julai 2020, Tergesa (September 2020) dan Lagu Untuk Hari Ini (November 2020).

Gadis jelita berusia 19 tahun itu antara  salah  seorang  penyanyi  muda  yang  aktif  mengeluarkan  karya baharu buat peminat setianya.

Menurut Keisya Levronka, single Tak Ingin Usai bercerita mengenai hubungan percintaan yang memang tidak boleh dipaksa danberpisah adalah jalan terbaik walaupun hal itu berat untuk dilakukan.

“Pada pandangan saya, Tak Ingin Usai ini  menceritakan  hubungan  yang  terlerai  akibat  keputusan sebelah pihak.

“Perpisahan itu turut menyebabkan pasangannya itu gagal meneruskan kehidupan, berasa hancur, menangis tapi berusaha menerima takdir dan reda.

“Bagaimanapun individu itu tetap berharap agar suatu hari nanti bakal dipertemukan lagi,” ujar pada sidang media di negara ini baru-baru ini.

Di Indonesia, Keisya pantas mencipta fenomena dan mudah diterima ramai apabila karakter suara dan vokal unik yang dimiliki menjadi senjata utama dalam dunia nyanyian.

Menariknya mengenai single itu, Keisya  berkerjasama  dengan  seorang  penyanyi  yang  juga  penulis  lirik berbakat yang sedang meningkat naik, Mario G Klau manakala Tohpati bertindak sebagai komposer.

Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Keisya berkata, dia tidak mengambil waktu yang lama untuk memilih lagu Tak Ingin Usai sebagai pertaruhan terbaharunya.

“Perjumpaan untuk memilih lagu ini sehingga sesi rakaman berlangsung dalam tempoh yang singkat.  Walaupun rakaman pernah tertunda dua bulan kerana faktor kesihatan saya, tapi selepas itu kami cuba selesaikan dengan segera.- MalaysiaGazette

 

Scroll to Top