mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kehadiran pemain warisan tidak akan menjejaskan peluang pemain tempatan untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya Rob Friend berkata, adunan pemain warisan dan tonggak tempatan akan membentuk skuad Harimau Malaya lebih seimbang dan berdaya saing sekali gus mampu mencipta keputusan positif di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, matlamat pengurusan skuad Harimau Malaya baharu ketika ini adalah mahu memastikan pasukan kebangsaan tampil lebih menyakinkan berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki pemain warisan terbabit.
“Pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pemain berdarah warisan dari Belanda sah akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan.
Friend menjelaskan kehadiran pemain warisan baharu ini akan membantu barisan kejurulatihan memiliki lebih banyak pilihan untuk memantapkan pasukan bagi aksi penting itu nanti.
Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya bakal tampil lebih padu dalam tempoh terdekat ini apabila dikhabarkan proses dokumentasi membabitkan empat pemain warisan baharu sudah berada di peringkat kelulusan kerajaan Malaysia.
Secara keseluruhan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa lapan pemain warisan baharu bakal sarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd