Kehadiran pelakon, adik bukan untuk rekod keterangan – Polis

Kehadiran pelakon, adik bukan untuk rekod keterangan – Polis

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan kehadiran pelakon wanita dan adiknya ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pagi ini, namun bukan untuk merakam keterangan.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi berkata, pertemuan itu sebaliknya untuk menjelaskan siasatan dilakukan pihaknya.

“Pertemuan pagi ini hanyalah bagi menjelaskan mengenai siasatan yang dilakukan sahaja,” katanya secara ringkas.

Terdahulu, satu jemputan media memaklumkan pelakon, Betty Benafee dan adiknya Datuk Shakib Banafee akan dipanggil ke Bukit Aman pagi ini.

Kehadiran didakwa untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa laporan kes berprofil tinggi yang dibuat, namun tidak diambil tindakan oleh pihak polis.

Pada 8 September lalu, polis menyifatkan dakwaan Betty kononnya polis gagal menyiasat 14 laporan dibuatnya sejak dua tahun lalu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Ia selepas pelakon itu memuat naik video di TikTok dengan dakwaan JSJK gagal menjalankan siasatan.

Ramli dalam kenyataan sebelum ini berkata, kesemua laporan polis terbabit disiasat dengan sewajarnya, dengan dua kertas siasatan dibuka masing-masing mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan semakan, 14 laporan polis dibuat oleh adik kepada pelakon wanita berkenaan iaitu Shakib Abu Bakar Banafee dan empat penama lain yang berkaitan.

Siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan sudah selesai dan kes diputuskan tiada tindakan lanjut atau NFA (no further action) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lalu.

Katanya, tindakan itu selepas mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes dilaporkan.

Selepas itu, siasatan kes dirujuk dan disemak semula oleh pihak peguam cara negara pada Ogos lalu dan keputusan tiada tindakan lanjut atau NFA dikekalkan.

Menurut Ramli, pegawai penyiasat juga sudah mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu mengenai keputusan siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan bagi kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd