Putrajaya: Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesahkan identiti 15 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
Dalam nasihat media pada Jumaat, Kementerian Luar Malaysia menyatakan bahawa kesemua 261 individu yang diselamatkan, termasuk 15 rakyat Malaysia, kini ditempatkan di kem tentera Fort Vachiraprakan dan akan menjalani saringan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) di Thailand sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
“Sebaik sahaja kelulusan diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand, Kedutaan Malaysia akan menjalankan lawatan konsular bagi memberikan bantuan sewajarnya, termasuk menghubungi waris serta menguruskan pemulangan mereka ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dalam perkara ini dan komited untuk menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terjejas.
Pada Rabu, Bernama melaporkan 15 rakyat Malaysia adalah antara mangsa warga asing yang diperdaya sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar, yang telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Myanmar dan dihantar ke Thailand untuk proses penghantaran pulang.
Pihak berkuasa Myanmar menyelamatkan mangsa dari KK Park dan Shwe Kokko, dua bandar sempadan yang terkenal dengan aktiviti pemerdagangan manusia, sebelum memindahkan mereka ke Thailand untuk proses selanjutnya dan penghantaran pulang ke negara masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd