Kedukaan Nor Zainizah sedikit terubat

Kedukaan Nor Zainizah sedikit terubat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dalam usaha membantu pesakit strok, Nor Zainizah Zainal, 31, bagi mendapatkan tempat tinggal, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sedang berurusan dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya sudah menghubungi pegawai Baitulmal Johor Bahru dan akan melihat keperluan ibu tunggal berkenaan.

Menurutnya, berikutan wanita itu dan dua anaknya diminta mengosongkan rumah sewa di Kampung Melayu Majidee, di sini, maka pihaknya akan mengusahakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, apabila terdapat kekosongan, keluarga berkenaan akan dinasihatkan untuk berpindah ke rumah PPR berkenaan.

“MAIJ akan mengenal pasti keperluan ibu tunggal dan anaknya dalam usaha meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyantuni keluarga berkenaan dan menyerahkan bantuan segera sejumlah RM300.

“Bantuan kewangan bulanan akan diberikan selepas keluarga berkenaan menyerahkan dokumen yang dikehendaki,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluarga Nor Zainizah menjalani kehidupan serba kekurangan sejak wanita itu diserang strok pada Februari lalu.

Bekas penyelia bahagian hospitaliti sebuah hotel di bandar raya ini mengalami kecacatan penglihatan mata kiri akibat pendarahan di otak hingga hilang upaya.

Selain mata kiri, mata kanannya juga semakin kabur dipercayai berpunca daripada gangguan saraf berikutan strok sekali gus difahamkan berdepan risiko buta sekiranya gagal menjalani pembedahan di bahagian otak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top