Kuala Lumpur: Enam hakim Mahkamah Persekutuan dan dua pentadbir kehakiman, yang akan bersara tahun ini, sudah dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka selama enam bulan, bagaimanapun kedudukan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, masih tidak jelas.
Tengku Maimun adalah wanita pertama yang dilantik sebagai hakim tertinggi negara, yang mengangkat sumpah pada 6 Mei 2019 dan akan bersara pada 30 Jun ini.
Menurut laporan FMT yang memetik sumber, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, yang memegang jawatan pada November tahun lalu, akan kekal memegang jawatan sehingga 14 November ini. Beliau akan berusia 66 tahun pada 13 Mei ini.
Hakim Mahkamah Persekutuan lain yang dikatakan ditawarkan lanjutan ialah Datuk Zabariah Yusof, yang akan bersara pada 10 April ini, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil (10 April), dan Datuk Hanipah Farikullah (23 Mei).
Bagaimanapun, menurut sumber itu, Abdul Karim tidak berminat untuk menerima tawaran berkenaan.
Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur 66 tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh dilanjutkan lebih daripada enam bulan selepas dia mencapai umur 66 tahun.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebelum ini telah mengemukakan nama hakim yang disyorkannya untuk dilanjutkan tempoh perkhidmatan dan salinan senarai biasanya dihantar ke pejabat Jabatan Perdana Menteri kerana pelanjutan itu membawa implikasi kewangan kepada kerajaan.
Kumpulan kedua hakim yang dijangka menerima surat mereka ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang akan bersara pada 1 Julai, dan Hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan pada 21 Ogos ini.
Sementara itu, Hakim Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, yang ditetapkan untuk bersara pada 21 April, dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, pada 25 Julai, sudah memasuki tempoh lanjutan.
Semua hakim mahkamah tertinggi yang lain, iaitu Hakim Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh, akan kekal memegang jawatan antara tiga hingga lapan tahun.
Sementara itu, Tengku Maimun dikatakan mempunyai tugas yang mencabar untuk menetapkan korum hakim bagi mendengar rayuan jenayah dan sivil kerana tiada berita mengenai sama ada lanjutan akan diberikan.
Kata sumber itu, beliau mahu memastikan ketiga-tiga hakim dalam panel masih memegang jawatan apabila penghakiman disampaikan.
Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan bahawa prosiding boleh diteruskan dan penghakiman disampaikan walaupun hanya dua hakim kekal dalam panel dengan syarat keputusan itu sebulat suara.
Peruntukan itu juga menyatakan bahawa jika dua hakim yang tinggal berbeza dalam keputusan mereka, prosiding akan dibicarakan semula di bawah Seksyen 78(2) akta berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd