MELAKA: Sebuah premis menjual aksesori telefon pintar di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini diserbu sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Rabu lalu kerana terlibat dengan aktiviti perjudian bola golek.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, seramai enam individu termasuk seorang wanita warga asing berusia 26 hingga 41 tahun ditahan.
Katanya, ketika serbuan, terdapat dua lelaki yang bertindak sebagai penjaga premis sementara dua lagi lelaki sebagai pemain permainan disyaki judi bola golek.
“Hasil soal siasat terhadap penjaga premis, polis kemudiannya membuat serbuan di tingkat atas premis yang sama dan berjaya menahan seorang lelaki dan wanita warga asing yang mengaku sebagai penganjur.
“Peralatan serta wangi tunai untuk kegunaan berjudi dirampas dan di bawa balik ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya. Kesemua individu direman selama tiga hari,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu bermain judi di tempat awam.
Jelasnya, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN