Kedah wajibkan tulisan jawi pada papan iklan

Kedah wajibkan tulisan jawi pada papan iklan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kerajaan negeri bercadang mewajibkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan kedua selepas rumi, pada setiap papan iklan serta papan tanda di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, bahasa lain juga boleh diguna sebagai tulisan ketiga pada papan iklan.

Bagaimanapun katanya, penggunaan gambar wanita yang mencolok mata pada papan iklan adalah dilarang.

“Mengikut cadangan, kita akan melarang papan iklan menggunakan gambar atau visual bahan larangan dan berbaur hasutan, berbaur perkauman serta memaparkan senjata berbahaya.

“Kita cadang semua itu dikuatkuasa kepada papan iklan dan iklan di premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mansor berkata, usaha itu adalah antara alternatif kerajaan negeri memartabatkan tulisan jawi seiring dengan undang-undang kecil negeri menggalakkan penggunaan tulisan jawi.

“Kita dah ada undang-undang kecil menggalakkan penggunaan tulisan jawi.

“Bermakna semua papan iklan digalak menggunakan tulisan jawi sebagai tulisan kedua,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top