Kedah kempunan catat kemenangan

Kedah kempunan catat kemenangan

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Sabah FC hampir diperangkap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Aksi bertenaga dipamerkan Kedah mendapat sorakan gemuruh penyokong yang mahukan kebangkitan skuad Sang Kenari selepas mengalami lima kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Dua gol terhasil masing-masing oleh Amirul Hisyam Awang Kecik dan Darren Lok.

Kedah membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi Amirul Hisyam Awang Kecik hasil sepakan penalti selepas pengadil menyemak Video Bantuan Pengadil (VAR) di atas kekasaran yang dilakukan oleh pemain Sabah, S Kumaahran ke atas Evenezer Assifuah.

Babak kedua menyaksikan Kedah sekali lagi mendapat peluang menambah jaringan pada minit ke-58 melalui percubaan kaki kiri oleh Ebenezer Assifuah, namun rembatannya tersasar ke kiri gawang Sabah.

Sabah berjaya menyamakan kedudukan minit ke-61 melalui rembatan kencang Darren Lok dari luar kotak penalti.

Kedah cuba bangkit melalui percubaan rembatan kencang oleh Afqq Ikmal pada minit ke-67 dan Ebenezer Assifuah pada minit ke-70 namun tidak menghasilkan gol.

Sabah pula melepaskan peluang di hujung perlawanan melalui tandukan Telmo Ferreira yang tersasar selepas menerima bola sepakan sudut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top