TAPAH: Seorang wanita warga emas, menoreh getah selama lebih 64 tahun untuk menampung kehidupan walaupun pendapatannya hanya sekitar RM150 hingga RM200 sebulan.
Painam Mat Karim, 76, yang tidak pernah berkahwin mengakui aspek cuaca sangat mempengaruhinya untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.
Katanya, dia menoreh di kawasan kebun seluas 0.6 hektar bersendirian yang hasilnya getah sekerap dijual kepada peraih sekitar daerah ini.
“Semua tahu harga getah sekerap hanya sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram malah amat bergantung pada cuaca, jika hujan saya termenung sahajalah.
“Mujur, saya menoreh di kebun peninggalan keluarga, tidak seperti mereka yang menoreh getah di kebun dipajak pemiliknya yang hasilnya perlu dibahagi-bahagikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Haji Dahalan di sini.
Painam mula menoreh getah sejak berumur 12 tahun selepas menamatkan persekolahan peringkat sekolah rendah mengakui memperoleh pendapatan bulanannya sekitar RM150 hingga RM200 iaitu di bawah garis kemiskinan.
“Memang jika difikirkan tidak cukup tetapi ada dua orang anak saudara perempuan yang saya pelihara sejak kecil yang bekerja dan membantu daripada segi membeli barangan dapur dan bayaran utiliti kerana tinggal bersama saya.
“Adik beradik juga membantu jadi tidaklah terasa sangat perjalanan hidup selama lebih 70 tahun,” katanya yang bersyukur kerana tidak pernah diserang penyakit kronik sebaliknya masih bertenaga.
Mengenai umur panjang, katanya tiada rahsia sebalikanya berhati-hati dalam memilih makanan seperti lebihkan sayur-sayuran dan ulam-ulaman. – UTUSAN