KUALA LUMPUR – Kecaman antarabangsa semakin memuncak susulan serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 404 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan lagi, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Jan.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa imej dari Gaza menunjukkan kebanyakan mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang rumah mereka dibom pada waktu malam.
Arab Saudi dan Qatar mengecam keras tindakan Israel, dengan Kementerian Luar Saudi menyifatkan serangan itu sebagai “pengeboman langsung ke kawasan yang dihuni penduduk awam yang tidak berdaya, tanpa sedikit pun mengambil kira undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Riyadh menggesa agar keganasan segera dihentikan dan menyeru masyarakat antarabangsa campur tangan.
Kementerian Luar Qatar pula menyifatkan serangan itu sebagai “satu cabaran terang-terangan terhadap kehendak antarabangsa yang menyokong keamanan,” sambil memberi amaran bahawa tindakan berterusan Israel boleh mencetuskan ketidakstabilan serantau yang lebih besar.
Kementerian Luar Mesir menyeru campur tangan antarabangsa segera bagi mengelakkan ketegangan semakin meruncing dan menggesa semua pihak memberi laluan kepada perantara untuk mencapai gencatan senjata kekal.
“(Serangan ini) merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata dan satu peningkatan ketegangan yang berbahaya, yang boleh membawa kesan buruk terhadap kestabilan rantau ini,” menurut kenyataan kementerian itu.
Perdana Menteri Jordan, Jafar Hassan menyifatkan serangan udara itu sebagai “satu serangan terhadap kemanusiaanā dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak.
Kementerian luarnya pula memberi amaran mengenai risiko peningkatan ketegangan di rantau itu dan menggesa Israel mematuhi perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
Jordan turut menuntut bekalan elektrik dipulihkan di Gaza serta pembukaan semula pintu masuk bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
Sementara itu, Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan baharu itu dan menuding jari kepada AS atas tindakan Israel.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqae, menuduh Israel melakukan genosid, sambil menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah tegas terhadap Tel Aviv.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan itu sebagai “tidak boleh diterimaā dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Finland, Alexander Stubb.
Erdogan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai “dasar pembunuhan beramai-ramaiā Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu serta menekankan keperluan segera untuk memulihkan gencatan senjata.
Di Eropah, Sepanyol turut mengecam serangan itu, dengan Menteri Luar Jose Manuel Albares menggambarkan situasi di Gaza sebagai sukar digambarkan.
“Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan keadaan di Gaza. Kita mesti berkabung dan menolak gelombang keganasan serta pengeboman baharu ini yang menyasarkan penduduk awam tanpa sebarang diskriminasi,ā katanya kepada penyiar Sepanyol, Onda Cero.
Beliau turut mengkritik Israel kerana memutuskan bantuan kemanusiaan dan bekalan elektrik ke wilayah itu, dengan menyatakan tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa.
Ketua parti Podemos Sepanyol, Ione Belarra, pula menggesa sekatand senjata rasmi dikenakan terhadap Israel, dengan alasan serangan itu merupakan satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.
Selain itu, China dan Rusia turut menggesa semua pihak bertenang serta memberi amaran mengenai akibat buruk jika permusuhan berterusan.
China menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap situasi yang semakin meruncing, dengan jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, menggesa semua pihak mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih besar dan memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi.
Rusia pula menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin merosot, dengan memberi amaran mengenai kemungkinan “lingkaran peningkatan ketegangan” di Gaza.
“Kemarahan terbaharu dalam situasi ini, serta kembalinya peningkatan ketegangan secara berterusan, sangat membimbangkan kami,ā kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita di Moscow.
Beliau turut menyatakan bahawa Moscow sedang memantau konflik itu dengan teliti dan berharap penyelesaian damai dapat dicapai.
Sejak Oktober 2023, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 48,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 112,000 yang lain.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang di wilayah itu. – Bernama-Anadolu