Kebocoran tong gas dipercayai punca bilik terbakar sehingga lelaki rentung

Kebocoran tong gas dipercayai punca bilik terbakar sehingga lelaki rentung

am@hmetro.com.my

Butterworth: Kebocoran tong gas dipercayai menjadi punca sebuah bilik di Jalan Assumption, di sini, terbakar awal pagi semalam, sehingga mengorbankan seorang lelaki yang ketika itu sedang tidur.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian 1.30 pagi itu mangsa seorang warga tempatan rentung akibat kebakaran berkenaan.

“Polis menemu bual saksi di rumah terbabit dan menyatakan terdengar bunyi letupan lalu lari keluar bilik untuk melihat (apa yang berlaku).

“Seorang saksi lain iaitu sepupu mangsa cuba memadamkan api di luar dan dalam bilik mangsa.

“Ketika kejadian berlaku pintu jeriji hadapan rumah dalam keadaan berkunci dan ada beberapa orang di tokong sebelah rumah mangsa datang membantu memadamkan api,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan oleh pemilik rumah dengan dibantu penduduk kampung sebelum kedatangan Bomba dan Penyelamat.

“Punca kebakaran disyaki akibat kebocoran tong gas dalam rumah terbabit.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Anuar menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Shaazuani Razoli di talian 04- 576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Semalam, Harian Metro melaporkan, mangsa Liew Hoong Kwee, 55, ditemukan rentung di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd