Kebocoran gas: Laluan dari Subang ke Glenmarie ditutup

Kebocoran gas: Laluan dari Subang ke Glenmarie ditutup

SHAH ALAM – Laluan dari arah Subang menghala ke Glenmarie ditutup akibat kebocoran gas di lokasi projek pembinaan LRT 3, Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen U1 di sini bermula hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan supaya laluan tersebut ditutup sepenuhnya kepada pengguna.

“Maklumat kejadian kebocoran gas diterima semalam membabitkan saluran paip utama bagi membekal gas asli kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

“Untuk makluman lokasi penutupan jalan ini merupakan penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie.

“Sekiranya penutupan penuh dijalankan ia akan menyebabkan kesesakan teruk di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Baharudin, bagi mengelakkan kesesakan jalan raya, laluan kontra akan dibuka bermula dari Simpang Tiga Temasya Kasih hingga ke Bangunan Palm Grove.

Katanya lagi, jarak laluan dua lokasi tersebut kira-kira 350 meter.

“Tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra dijangka mengambil masa 25 hari untuk tempoh baik pulih dijangka selesai.

“Sepanjang tempoh itu, bantuan rondaan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan pihak MRT digerakkan bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan memandu secara berhemah dan patuhi isyarat lalu lintas semasa melalui laluan kontra,” katanya – Malaysia Gazette