am@hmetro.com.my
Subang Jaya: Bantuan tunai sebanyak RM5,000 akan disalurkan kepada pemilik rumah yang rosak akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, manakala RM2,500 diberi kepada mangsa yang terkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wang itu disalurkan Petronas dan kerajaan segera.
“Ini supaya mereka dapat belanja sementara dan yang mana terkesan akan menerima RM2,500.
“Yang lain Itu kita akan kerah seluruh jentera kemudahan membantu menyedihkan tempat tinggal yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights di sini, hari ini.
Sehingga 3.40 petang ini, sebanyak 190 unit rumah, 148 kereta, serta 11 motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.
Anwar berkata, hal itu (baik pulih) sedang direncanakan dan ia berbeza dengan situasi banjir kerana kejadian ini menyebabkan kerosakan besar kepada perumahan.
“Ia memerlukan perancangan yang lebih teliti dan seperti saya tegaskan ia tidak boleh diselesaikan dalam tempoh satu ke dua bulan.
“Tetapi percayalah saya akan gerakkan seluruh jentera kerajaan untuk mengambil tindakan sesegera mungkin,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama Petronas dan kerajaan negeri.
Katanya, buat masa ini, Petronas dengan jentera kerajaan sedang berbincang bagaimana untuk mengambil tindakan segera dan munasabah.
“Keutamaan kita sekarang ialah keselamatan dan setakat ini terkawal, sebab itu saya pilih untuk pergi sendiri ke tempat terbabit (lokasi kebakaran),” katanya.
Mengenai punca kebakaran itu, beliau berkata, pihak berkuasa memerlukan sedikit masa bagi menjalankan siasatan rapi.
“Terima kasih kerana seluruh jentera bertindak cepat dan laporan daripada polis diberi dengan segera dan saya harap (penduduk) jangan bimbang, cuma mengambil masa sedikit,” katanya.
Maklumat terkini kebakaran saluran gas di Putra Heights
© New Straits Times Press (M) Bhd