Kebakaran ruangan kargo punca MH720 isytihar kecemasan

Kebakaran ruangan kargo punca MH720 isytihar kecemasan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Petunjuk kebakaran di ruangan kargo memaksa pesawat Malaysia Airlines MH720 dari Jakarta melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini berkata, pesawat membawa 115 penumpang dan tujuh anak kapal itu mendarat dengan selamat pada 6.18 petang.

“Prosedur operasi standard dilaksanakan dengan pantas oleh anak kapal termasuk mengaktifkan ejen pemadam api di bahagian kargo sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sejurus mendarat, pesawat berkenaan dibawa ke kawasan berasingan di mana kesemua penumpang dan anak kapal turun dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba dan pasukan teknikal dikerahkan untuk menilai situasi pesawat terbabit dengan teliti sebelum membuka pintu kargo kapal terbang berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan syarikat bagi memastikan standard keselamatan tertinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top