Kebaikan arwah Jojo tidak dapat dilupakan – Sabhi

Kebaikan arwah Jojo tidak dapat dilupakan – Sabhi

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tidak boleh lupakan kebaikan arwah. Kami berdua pernah tiada duit tapi setiap kali bangun tidur dia akan tinggalkan sedikit wang untuk saya ke bandar.”

Demikian kata penyanyi Sabhi Sadhi yang masih terngiang-ngiang kenangan bersama rakan baiknya Allahyarham Jojo hingga mengalirkan air mata.

Sabhi berkata, bekas ahli kumpulan One Nation Emcees itu memiliki keperibadian yang cukup baik dan selalu akan memarahinya jika bercakap kasar.

“Saya menyimpan banyak kenangan bersama arwah. Ketika saya berpindah dari Sandakan ke Kota Kinabalu, dia orang pertama yang mendekati saya dan mengajar segala-galanya. Kami pernah berjalan kaki sejauh lima kilometer dari bandar Kota Kinabalu ke rumahnya, dan sepanjang perjalanan itu dia mengajar saya menari.

“Dia sahabat yang paling saya sayang. Kehilangannya memberi kesan mendalam kerana kami pernah melalui pelbagai momen bersama dari saat saya belum dikenali sehingga orang mula menyebut nama saya.

“Kebaikan arwah akan sentiasa saya kenang. Dia sahabat sejati yang sanggup susah senang bersama, sesuatu yang sangat sukar untuk dicari,” katanya.

Sabhi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Selangor Havoc Raya Fest, baru-baru ini.

Menurut Sabhi, dia mengaku agak terkesan apabila tidak dapat bertemu arwah buat kali terakhir.

Bagaimanapun bersyukur sahabatnya meninggal dunia pada malam Israk Mikraj yang juga malam penuh keampunan.

“Sampai hari ini masih ada rasa kesal. Kali terakhir kami berhubung melalui panggilan video pada November tahun lalu. Saya berjanji mahu berjumpa dengannya, tetapi tidak sempat menunaikan janji itu.

“Lebih menyedihkan, di saat akhir hayatnya pun saya tidak berpeluang menghantarnya ke tanah perkuburan.

“Namun, saya bersyukur pemergian arwah pada malam penuh barakah, Israk Mikraj. Pengakhiran yang begitu baik, dan kalau boleh, semua orang pasti mengimpikan pemergian seperti itu,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, pemilik nama lengkap Nur Hasan Balas meninggal dunia selepas rebah di masjid dipercayai akibat serangan jantung.

Difahamkan, Jojo meninggal dunia ketika menyertai majlis Ijtimak Qudamak Seri Petaling di Masjid Sri Petaling.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top